Warga Kemboja dihukum penjara

in Semasa by


JERANTUT – Seorang lelaki warganegara Kemboja mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lebih empat tahun atas lima pertuduhan yang dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.


Dalam pertuduhan pertama yang dibaca Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Negeri Pahang, Mohd Ridzuan Rosli, lelaki terbabit, Sam Sat, mengaku bersalah kerana menceroboh kawasan hutan di ulu Sungai Cagah dalam kawasan Taman Negara Pahang tanpa permit sah.


Untuk pertuduhan pertama itu, Sam Sat didakwa di bawah Kaedah 9 (2) Kaedah-Kaedah Taman Negara Pahang 1951) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang menyebabkannya dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan.


Manakala empat lagi pertuduhan, Sam Sat mengaku bersalah kerana memiliki peralatan iaitu satu unit kapak, satu unit penggali, satu set pencuci kayu gaharu, dan dua unit parang  bagi melakukan kesalahan di dalam Taman Negara di bawah Seksyen 8 (b) Enakmen Taman Negara Pahang 1939.


Setiap satu pertuduhan itu, Sam Sat yang tidak memiliki passport dijatuhi hukuman penjara 11 bulan menjadikan keseluruhan tempoh penjara adalah selama sekitar empat tahun tujuh bulan.


Timbalan Penguasa Taman Negara Pahang, Dzumie Herman Mohd Nor berkata, tangkapan ke atas Sam Sat dibuat pada 24 Oktober lalu sekitar jam 3.30 petang di ulu Sungai Cagah dalam kawasan Taman Negara Pahang.


Katanya, Sam Sat yang bekerja mencari kayu gaharu itu telah menetap di Malaysia sejak 2011.


“Bagaimanapun kita dapati dia (Sam Sat) baru sahaja datang ke sini kerana diajak rakan mencari kayu gaharu,” katanya.


Malang buat Sam Sat apabila dia satu-satunya ahli kumpulan yang berjaya ditangkap dari sekitar 11 orang dipercayai juga warganegara Kemboja yang masih bebas.


“Khemah didiami Sam Sat berada paling dekat dengan kedudukan kami manakala rakannya yang lain sempat melarikan diri,” katanya.


Dalam pada itu Dzumie berkata, ini merupakan kes kedua melibatkan pencerobohan hutan yang berlaku di Taman Negara Pahang dalam tahun ini.


Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan kesalahan melanggar akta yang ditetapkan di mana hukuman berat boleh dikenakan jika disabit kesalahan.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]