SHAH ALAM – Video seorang ayah menyakat anak-anaknya mendapat perhatian netizen di laman sosial Twitter.
Video berdurasi dua minit 18 saat itu dikongsi ramai apabila si ayah menyakat lima anaknya dengan mengatakan dua daripada mereka perlu dikeluarkan dari rumah.
“Kat sini, papa nak bagitau, dekat tangan papa ada lima nama, Alisa, Fazlin, Atiq, Hanan dan Harasyh. Di mana sekarang ni papa nak bagitau, kita kekurangan kewangan, makanan dan ada masalah dalam negara.
“Di mana Malaysia meletakkan satu rumah hanya boleh tiga anak sahaja. Melebihi tiga tak boleh. Papa terpaksa adil dan keluarkan dua anak papa.
“Ada orang lebih baik yang akan jaga, orang yang mampu. Papa harap apa keputusan ini diterima sebaik-baiknya.
“Siapa namanya yang papa panggil, boleh naik atas kemas pakaian, dan boleh tinggal sini sampai hujung tahun ini,” katanya.
Nama pertama yang akan tinggalkan rumah ini adalah Fazrin.. Insya-ALLAH kita akan jumpa lagi… yang kedua Atiq. Maaf, Atiq terpaksa papa tinggalkan,” katanya.
Sejurus nama-nama itu disebut, anak-anaknya mula menangis dan memeluk si ayah.
“Nak buat macam mana, macam ni lah hidup kat Malaysia sekarang ni,” ujarnya.
Video itu menarik perhatian netizen apabila ramai yang memberi komen.
Rata-rata yang turut sedih melihat gelagat si ayah menyakat anak-anaknya.
“Bila tengok budak budak nangis. Aku pun nak nangis,” tulis @LutfaSM_3012.
Perkara sama turut dikongsi @EcahBongsu yang juga sebak melihat aksi anak-anak tersebut memeluk ayahnya.
Tidak hanya sedih, ada juga netizen yang memuji lakonan si ayah yang kelihatan selamba dengan dibantu isterinya yang merakam video berkenaan.
Sehingga kini, video tersebut sudah ditonton lebih 200,000 pelayar.
ITU prinsip dan luahan penyanyi tahun 80-an, Noorshila Amin dan anaknya yang telah mengangkat sumpah menafikan mereka telah songlap sejumlah wang daripada beberapa rakan artis seperti yang didakwa rakan pelakon.
“Saya bersumpah dengan nama ALLAH bahawa saya tidak mengambil satu sen pun duit artis yang terlibat di dalam karnival jualan yang dimaksudkan sewaktu membawa mereka ke Brunei April lalu.
“Demi menjaga nama baik, kami juga telah membuat laporan polis pada 4 Disember di Balai Polis Seremban 2 berkenaan kenyataan yang dibuat pelakon berkenaan,” tegasnya menerusi sidang akhbar yang diadakan di Binkhalid by Geo’s, jam 4 petang tadi.
Sementara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Rambu Ramba itu turut memberi penjelasan berkenaan dakwaan pelakon itu yang turut mendakwa, penyanyi itu telah menendang troli miliknya ketika sama-sama berniaga di Singapura.
Noorshila bagaimanapun menjelaskan, dia sebaliknya hanya menguis troli tersebut menggunakan kaki sambil berpeluk tubuh.
“Saya mengaku ada menguis troli yang dimaksudkan. Tetapi bukanlah tendang. Hanya kuis supaya ia berada di tempat sepatutnya,” jelasnya.
Sebelum ini, hubungan dua selebriti itu dikatakan tidak berapa baik ketika sama-sama berniaga di Kota Singa November lalu.
Situasi difahamkan menjadi buruk apabila seorang artis lagi dikatakan telah memuatnaik empat video di Facebook mengenai isu tersebut hingga menjadi tular di media sosial.
Ekoran daripada kes itulah, timbul pula cerita kononnya Noorshila, 53, dan anaknya Admiena, 33, telah menipu duit artis yang dibawa berniaga di Brunei baru-baru ini.
Sehubungan itu, dua beranak tersebut telah melakukan sumpah laknat bagi membuktikan mereka tidak pernah melakukan penipuan seperti mana yang didakwa.
Sedutan sidang media tersebut juga boleh ditonton menerusi laman Facebook, Media Hiburan.
“SAYA terasa bagaikan dirogol,” luah pelakon utama filem Pinjam Hatiku, Farid Kamil.
Karya arahan Osman Ali ini menjadi mangsa jenayah siber apabila filem itu dirakam menerusi Facebook Live (FB Live).
Jelasnya, tindakan tegas harus diambil bagi membendung kegiatan yang tidak bertamadun ini.
“Sebagai pelakon, siapa yang tak marah apabila hasil kerja yang dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab disalah gunakan seperti itu.
“Sebabnya, kita dah capai satu tahap bila filem Osman Ali, ia mesti diciplak begitu saja. Macam, Osman, mari datang sini, buka baju, nak tengok,” katanya pada media kepada Sinar Harian.
Susulan itu, selebriti berusia 36 tahun ini turut serta membuat laporan di Balai Polis Puchong Jaya, Selangor kira-kira jam 2.30 petang tadi.
“Setiap kali promosi filem, saya tak pernah terlepas cakap, hayati filem ini bukan untuk FB Live kerana itu adalah perlakuan orang yang tak bertamadun dan tak ada ignorance level yang sangat tinggi,” katanya.
Katanya, laporan polis itu juga bertujuan untuk membuka mata masyarakat mengenai kepentingan menghormati hak cipta sesebuah karya.
“Macam mana, awak masuk rumah orang, tangkap gambar, video sesuka hati tanpa kebenaran. Mana boleh!,” tegasnya.
Rentetan itu, bintang filem Tombiruo ini berharap agar laporan polis yang dilakukan mendapat perhatian lanjut daripada pihak berwajib.
“Penguatkuasaan harus dilakukan dalam kadar segera.
“Jika lihat dari awal tahun ini, saya rasa ada lebih 15 laporan polis dibuat berhubung masalah ini tapi tiada satu tangkapan pun dibuat,” katanya.
Selain Farid, Pinjamkan Hatiku turut menampilkan Ayda Jebat dan Shaheizy Sam sebagai teraju utama dan ia sedang ditayangkan di pawagam sejak 30 November lalu.
GAGAL memberikan komitmen sepenuhnya, Diana Danielle mengambil keputusan untuk menutup kafe miliknya, Born & Bread’s, sejak beberapa bulan lalu.
Bahkan, selebriti berusia 26 tahun ini mengakui itu adalah keputusan yang terbaik.
“Saya tak boleh nak beri komitmen sepenuhnya.
“Kebetulan, saya pula semakin sibuk dengan kerjaya seni lagi-lagi selepas saya kembali aktif berlakon dan menyanyi,” katanya pada Sinar Harian.
Mengakui pernah menjadi impiannya, bintang filem Hanyut ini bagaimanapun menolak untuk terbabit lagi dalam perniagaan berbentuk makanan.
“Sebab, bila cakap pasal bisnes makanan, every single day kita tak boleh lepas tangan pada orang lain.
“Bila lepas tangan, kita tak akan tahu operasinya nanti. Itu lagi bahaya. Jadi, lebih baik saya tutup,” katanya.
Meskipun sibuk dengan kerjaya seni, bintang filem Kami Histeria ini bersedia menggalas tugas barunya sebagai Pengerusi Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA).
Katanya, DPA bertujuan menghimpunkan golongan selebriti yang mempunyai minat serta kesungguhan untuk bergelar usahawan yang berjaya dan berintegriti dengan mendapat bimbingan yang betul seterusnya mampu bergiat lebih serius dalam perniagaan berskala besar.
Katanya, golongan artis tidak boleh bergantung pada bidang seni semata-mata sebaliknya perlu mempunyai pelan sandaran yang lebih terjanin demi masa depan yang cerah.
“Saya seronok melihat ramai rakan artis bergelar usahawan malah ada yang dah mampu memiliki premis perniagaan.
“Oleh itu, kita ingin mengajak lebih ramai lagi selebriti yang berminat untuk bergelar usahawan dengan menyertai DPA.
“Pelbagai ilmu dan bimbingan perniagaan yang lengkap akan dikongsikan supaya golongan artis memiliki cukup ilmu untuk bergelar usahawan,” katanya.
Tidak keseorangan, Diana turut dibantu sembilan selebriti lain yang sudah mendaftar sebagai ahli tetap iaitu Farid Kamil, Bront Palarae, Hazama, Hafiz, Akim, Stacy, Wan Hanafi Su dan Soffi Jikan.
AKTOR Hindi, Shashi Kapoor dilaporkan meninggal dunia petang tadi akibat masalah buah pinggang.
Pengarah Eksekutif Hospital Kokilaben, Mumbai, Dr Ram Narain berkata, Shashi, 79, meninggal dunia kira-kira jam 5.20 petang tadi.
Sementara itu, anak saudaranya Randhir Kapoor berkata, ayah saudaranya itu mengalami masalah buah pinggang sejak beberapa tahun lalu dan telah menjalani dialisis.
Shashi memulakan karier lakonannya sebagai pelakon kanak-kanak dalam filem arahan bapanya Prithviraj Kapoor pada 1948.
Antara filem lakonannya yang terkenal ialah ‘Deewaar (1974), ‘Kabhi Kabhie’ (1975), ‘Satyam Shivam Sundaram’ (1978), ‘Junoon’ (1978), ‘Shaan’ (1980) dan Namak Halaal’ (1982).
Pada 2011, beliau menerima anugerah Padma Bhushan oleh kerajaan India dan pada 2015, menjadi orang ketiga dalam keluarganya menerima Anugerah Dadasaheb Phalke.
Shashi berkahwin dengan pelakon British, Jennifer Kendal.
SHAH ALAM – Sebagai insan seni, mereka dinasihatkan agar tidak menjadi alat kepada parti pembangkang, demikian menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.
Beliau yang membuat teguran secara terbuka kepada segelintir artis yang dilihat begitu asyik menghentam kerajaan tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Dapatkan fakta yang betul sebelum menulis dan tulislah dalam keadaan waras.
“Nasihat saya agar ‘beliau’ berhenti daripada menggunakan pengaruh sebagai artis untuk memesongkan pemikiran rakyat negara ini,” katanya yang dipetik dari laman Facebook miliknya.
Bagaimanapun, beliau tidak secara terperinci mendedahkan kepada siapa artis yang dimaksudkan.
Beliau berata, tidak sesuai untuk artis ini menjadi perkakasan parti pembangkang yang kini terdesak untuk meraih populariti menjelang PRU14.
“Malah parti itu nak buat mesyuarat agung pun tak mampu bagaimana nak diharapkan untuk mentadbir negara?
“Bekerjalah sedaya upaya dalam dunia seni tempatan yang cukup luas bidangnya, kalau dah tak laku jadi pelakon, cuba pula bidang lain atau setidak-tidaknya guna pengaruh untuk mulakan serta kembangkan perniagaan,” ujarnya.
Tanpa menyebut nama artis berkenaan, Rizal berkata populariti artis tersebut merudum kerana perangai sendiri yang tidak berdisiplin dan terlibat dengan gejala-gejala negatif.
“Kini, terdesak untuk meraih semula populariti, beliau cuba membuat posting-posting politik yang tidak tahu apa yang ditulis.
“Daripada menghabiskan masa membaca portal berita atau blog pembangkang, lebih baik mencari maklumat untuk mendapatkan pelbagai bantuan khususnya untuk orang bangsa sendiri dan masyarakat seni,” katanya lagi.
Rizal berkata, sejarah menunjukkan nasib yang menimpa beberapa artis yang dipergunakan pembangkang yang akhirnya terpaksa kembali kepada dunia seni apabila dipinggir setelah pembangkang mencapai matlamat mereka.
“Contoh jelas pada PRU13 yang lalu, golongan artis hanya digunakan untuk berceramah tetapi kemudiannya nasib mereka langsung tidak dipedulikan,” katanya.
Rizal juga membacakan teks yang sama ketika melancarkan Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia di Royale Chulan Damansara, hari ini.
Terdahulu, pelakon Fathia Latif mencetuskan kontroversi apabila status-status di laman Twitter miliknya yang menghentam kerajaan.
Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff memberikan pandangan mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa masyarakat Malaysia akan menjadi bebas mata wang menjelang tahun 2050 nanti.
“Kita nak jadi macam zaman batu balik ke? Buat sistem barter balik, kau bagi aku televisyen, aku bagi kau basikal. Takut,” tulisnya.
Komennya itu menjadi tular dan mendapat perhatian netizen prihatin apabila ada diantara mereka menjadikan komen tersebut sebagai jenaka seperti Ajibtoo.
Pelakon drama Dia Isteri Luar Biasa ini sebelum ini mencetuskan kontroversi dengan beberapa status di Twitternya.
Terbaru Fathia mempersoalkan siasatan yang dijalankan terhadap Dr Mahathir berkenaan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang kerugian Bank Negara dalam urus niaga tukaran wang asing (Forex).
“Selepas berpuluh-puluh tahun Tun (Dr Mahathir) berkhidmat pada negara baru nak dakwa? Inilah dinamakan ‘bijak’?” soalnya.
Tidak hanya itu, menerusi statusnya Fathia berkata, jika ‘ingin membuka cerita lama’, siasatan patut juga dibuat terhadap dakwaan ‘sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun peribadi individu tertentu’.
“Siasatan perlu dibuat dan ‘keputusannya’ didedahkan kepada umum kerana masih ada persoalan yang tidak dijawab sepenuhnya. Setuju?” soalnya.
Awal November lalu, status Fathia terus menjadi perhatian apabila mempersoalkan mengenai harga minyak.
“Minyak naik lagi RM2.31 sen! Sapa (siapa) sakit hati? Ke tak rasa apa-apa sebab dah immune (biasa)?” katanya.
Tidak hanya itu, Fathia juga hebat dikecam hanya kerana mempersoalkan sama ada Najib melawat pusat banjir di Pulau Pinang.
“Assalamualaikum Prime Minister, tak pergi ke jenguk-jenguk #Penang?” tulisnya.
Fathia dilihat antara pelakon yang lantang menyuarakan pendapat biarpun adakalanya dianggap keterlaluan.
KUALA LUMPUR – Satu gempa bumi dengan kekuatan sederhana, iaitu 5.4 pada Skala Richter berlaku di Wilayah Timor Timur, 79 kilometer ke Barat Daya Kupang, Indonesia pada pukul 7.52 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata dalam satu kenyataan di sini, hari ini gempa itu berlaku 1,562 kilometer Tenggara Sarikei, Sarawak, iaitu lokasi terdekat di Malaysia daripada kawasan gempa.
Gempa bumi itu bagaimanapun tidak membawa ancaman tsunami. – Bernama
LAHAD DATU – Pasukan keselamatan menembak mati seorang suspek dipercayai anggota Kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dalam insiden berbalas tembakan di perairan Pulau Kantong Kalungan, di kawasan Laut Silam di sini, awal hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, suspek Abu Paliyak, berumur 30-an, yang juga anggota kumpulan Remy atau dikenali sebagai Two Brothers, dipercayai keluar ke laut bagi membuat pemerhatian pergerakan pasukan keselamatan dan menyalurkan maklumat kepada kumpulan KFR untuk melakukan jenayah rentas sempadan di kawasan perairan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).
Bagaimana pun katanya, sepasukan anggota daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu dan Pasukan Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang melakukan rondaan penyamaran terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika bot pasukan keselamatan cuba menghampirinya dan memperkenalkan diri sebagai polis, tiba-tiba bot suspek memecut melarikan diri dan suspek melepaskan tembakan dalam jarak 20 hingga 30 meter ke arah bot keselamatan.
“Berikutan itu, pasukan keselamatan melepaskan empat das tembakan balas dan beberapa minit kemudian polis menghampiri bot suspek dan menemukan suspek terbaring mati dengan kesan tembakan di rusuk kiri dan kanan,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini, hari ini.
Ramli berkata pemeriksaan lanjut bot turut menemukan selaras senapang patah yang diubah suai bersama sebutir kelongsong peluru di dalam kebuk senjata dan sebutir lagi peluru di dalam bot.
Hasil pemeriksaan ke atas badan suspek, Ramli berkata pihaknya turut mendapati terdapat kira-kira sembilan parut lama dipercayai kesan tembakan dan terkena bahan letupan di bahagian paha kanan, perut dan lengan kanan manakala jari tengah sebelah kiri turut putus.
“Suspek yang juga dikenali sebagai Komander Paliyak atau Yusof ini pernah terlibat dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di laut kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar 2014 serta 2015,” katanya.
Menurut Ramli ini merupakan kejayaan kedua pasukan keselamatan yang diselaraskan Esscom menumpaskan suspek KFR selepas insiden pertama di Pulau Burung di Kunak pada September tahun ini.
“Kumpulan Two Brothers ini dianggotai sebelas anggota dan aktif menculik untuk wang tebusan di Esszone, lima daripadanya telah ditangkap manakala empat lagi ditembak mati pihak berkuasa Filipina.
“Seorang lagi masih bebas dan kini dipercayai berada di kawasan Selatan Filipina dan hari ini kita tembak Abu Paliyak,” katanya suspek pernah terlibat dalam penculikan di Pulau Bait pada tahun 2014.
Sementara itu, Ramli berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan saki baki tali barut KFR dan seorang lagi anggota Two Brothers yang masih bebas.
Beliau berkata berikutan kejayaan menembak mati suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes rompakan di laut dan penculikan yang berlaku di Esszone.
Ramli turut meminta orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan sekiranya mengetahui sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. – Bernama
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan yang BN akan meletakkan lebih ramai calon wanita pada PRU14 yang kini semakin hampir.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, beliau percaya wanita harus menjadi tulang belakang politik Malaysia, di bawah kekuatan kepimpinan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta keteguhan Wanita BN dan Umno.
Katanya, Shahrizat yang merupakan Ketua Wanita Umno dan juga Pengerusi Wanita BN, harus diberi kedudukan penting selepas pilihan raya umum berkenaan.
“Saya akan bisikkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk meletakkan lebih ramai (calon) wanita dalam pilihan raya umum. Saya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan kaum wanita jika mereka diberikan amanah atau tugas,” katanya semasa menutup Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Politik (WIPKL) 2017, yang berlangsung di sini hari ini bersempena Perhimpunan Agung Umno.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan BN sentiasa mengusahakan agar lebih ramai wanita diletakkan sebagai calon pada pilihan raya.
“Begitu juga untuk pilihan raya umum yang semakin mendekat ini,” katanya.
Mengakui pemerkasaan wanita tidak bermakna jika suara mereka tidak didengari dalam politik, beliau berkata: “Mujurlah di Malaysia ini ada hasil positif dari segi mempunyai lebih banyak suara wanita dalam politik.”
Ahmad Zahid berkata Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif untuk melihat lebih banyak penyertaan wanita dalam sektor awam dan swasta.
Bagi sektor awam, beliau berkata Malaysia mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan kerana berjaya melepasi sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan.
“Pencapaian sebenar ialah pada 35.8 peratus manakala dalam sektor korporat, wanita kita merekodkan 29.9 peratus. Memandangkan sasaran ialah 30 peratus, saya biarkan anda semua membuat perkiraan akan betapa hampirnya kita untuk mencapai sasaran itu,” katanya.
Berkongsi satu daripada kisah kejayaan Malaysia, timbalan perdana menteri berkata berdasarkkan Laporan Pemantauan Keusahawanan Global 2016/2017 yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia berada di kedudukan keempat dari segi kesaksamaan gender dalam keusahawanan di belakang Brazil, Mexico dan Indonesia.
“Ini bermakna bilangan usahawan wanita di Malaysia kini menyamai lelaki,” katanya. – Bernama
KUALA NERUS – Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan laluan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 tidak semudah yang disangka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Dr Mahathir perlu membuktikan keupayaannya dengan memenangi kerusi Dun terlebih terdahulu sebelum bertanding sebagai Anggota Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pakatan Harapan mahu melantik Dr Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing sebagai perdana menteri interim dan timbalan perdana menteri sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum ke-14.
Shahidan ditemui pemberita selepas melawat pusat penempatan sementara mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak di sini hari ini.
Beliau pada masa sama menasihatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan cadangan Pakatan Harapan itu dan terus menyokong Barisan Nasional yang sentiasa mengotakan janjinya dalam membantu rakyat dengan ikhlas. – Bernama