16 kes integriti anggota bomba

in Edisi Utara by


BATU KAWAN – Sebanyak 16 kes integriti di kalangan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bermula Januari hingga Oktober 2017.


Pengarahnya, Saadon Moktar berkata, kesemua mereka melanggar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan telah diambil tindakan.


“Dari segi rasuah setakat ini belum ada lagi, tetapi dari segi integriti seperti masalah disiplin memang ada.


“Pecahan kes itu adalah melibatkan dua kes dadah, 10 kes tata kelakuan dan 4 kes lagi kesalahan tidak hadir bertugas,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang, di sini, semalam.


Pada majlis itu seramai 150 pegawai di Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang, Ketua-ketua Balai dan Ketua-ketua Zon melafazkan ikrar.


Menurutnya, antara tindakan yang dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan kesalahan integriti adalah dibuang kerja, tangguh kenaikan gaji, kutip semula emolumen dan diberi amaran.


“Pada 2016 pula kita dah ambil dua tindakan tatatertib iaitu satu kes berkaitan tatakelakuan dan satu lagi berkenaan tidak hadir bertugas.


“Bagaimanapun belum ada sebarang kes melibatkan pendakwaan dan mungkin masih ada yang dalam siasatan,” katanya.


Jelasnya, Bomba Pulau Pinang sentiasa mengingatkan semua anggota dan pegawai supaya menjaga integriti dan tidak melakukan perkara-perkara yang ada kaitan dengan unsur-unsur rasuah.


“Kita ada bahagian yang mungkin terdedah dengan unsur-unsur rasuah kerana kami sentiasa membuat pemeriksaan ke bangunan-bangunan dan mengeluarkan surat sokongan kepada pihak-pihak berkuasa tempatan.


“Mungkin boleh wujud unsur-unsur rasuah di situ. Sepatutnya semua penjawat ini bebas daripada rasuah, jadi kami nak membuktikan yang kami berusaha menuju ke arah bebas rasuah dengan berikrar,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]