Air berlumpur deras banjiri jalan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Hujan lebat berpanjangan pada Selasa lalu mengakibatkan air lumpur membanjiri Jalan Persekutuan FT 009 Seksyen 17.5, Jalan Tampin-Kuala Pilah hingga pengguna terpaksa mencari jalan alternatif lain.


Kejadian itu kerap berlaku, namun pada hari tersebut, ia mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya berikutan air lumpur deras.


Penduduk, Norhayati Abdullah berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari arah Johol ke Kuala Pilah.


“Setibanya di kawasan itu, air lumpur telah membanjiri jalan hingga beberapa kenderaan dilihat memberhentikan kenderaan, bimbang jika melintasi air akan dihanyutkan ke dalam sungai berhampiran.


“Air dilihat deras diikuti hujan lebat ketika itu,” katanya.


Dia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 17, mempercayai air lumpur itu berpunca daripada tanah atas bukit di kawasan pertanian.


“Tanah itu didakwa milik persendirian dan mengusahakan projek pertanian. Sebelum ni, kawasan ini tidak pernah berlaku banjir sedemikian, namun selepas projek itu dilaksanakan, masalah ini terjadi.


“Semasa kejadian, saya terpaksa ikut jalan alternatif di Kampung Senibai Inas dan keluar semula di Kampung Senaling.


“Jika tiada jalan itu, mungkin sukar untuk ke Kuala Pilah berikutan kenderaan ringan tak boleh meredah banjir lumpur, bimbang dihanyutkan,” katanya.


Norhayati juga berharap pihak berkaitan dapat bantu menyelesaikan masalah tersebut, terutama pada musim tengkujuh ini.


Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh berkata, kejadian itu dikenal pasti berpunca daripada air lumpur dari tanah di kawasan pertanian.


“Tanah itu adalah tanah hak milik persendirian dan mengusahakan tanaman kelapa sawit.


“Di daerah ini, kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur sering berlaku. Ia dikenal pasti berpunca daripada aktiviti atas tanah persendirian.


“Justeru, bagi mengatasi isu ini, pejabat tanah akan memantau aktiviti-aktiviti ini dari semasa ke semasa,” katanya memberitahu akan memberi notis kepada pemilik tanah yang terlibat sekiranya berlaku kesalahan.


Tambahnya, pemilik tanah perlu bertanggungjawab di atas apa yang berlaku dan mengambil inisiatif membendung masalah berkenaan.


“Pada kejadian 28 November lalu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membantu membersihkan kawasan itu dan lalu lintas lancar seperti sedia kala,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]