Bekas pemimpin bukan ancaman Umno

in Politik by


KUALA LUMPUR – Umno tidak berdepan dengan ancaman daripada mana-mana pihak walaupun ada di antara bekas pemimpin parti Melayu itu telah beralih arah dan menyatakan sokongan kepada pembangkang.


Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Umno kini telah bergerak ke hadapan dan bekas-bekas pemimpin yang meninggalkan parti itu dilihat tidak relevan untuk memberi sebarang ancaman kepada parti khususnya menjelang PRU14 nanti.


“Walaupun ada pemimpin utama yang menyertai barisan pembangkang, namun ia tak memberi ancaman kepada kita.


“Ini kerana kita telah berubah dengan menyesuaikan apa yang dilakukan dahulu dengan landskap hari ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Beberapa bekas pemimpin utama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal sebelum ini bertindak meninggalkan Umno bagi menubuhkan parti baharu dan turut bersama-sama dengan barisan pembangkang.


Dalam melaksanakan proses transformasi di dalam Umno, beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi Umno memaklumkan bahawa pihaknya turut berdepan cabaran bagi menyediakan ahli-ahli dan jentera di peringkat bawah.


Menurutnya, ini adalah bagi membolehkan gerakan baharu ini dapat menterjemahkan dan menggerakkan jentera-jentera Umno sehingga di peringkat cawangan.


“Dan keberkesanan proses ini hanya akan dapat diketahui sewaktu pilihan raya nanti,” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi Umno juga akan menerbitkan sebuah buku manual untuk diedarkan kepada ahli dan perwakilan yang mengikuti Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU 2017) pada 5 hingga 9 Disember ini.


Katanya, pengedaran buku itu bagi memberi penerangan kepada setiap ahli Umno di peringkat akar umbi berhubung pelaksanaan dan tindakan diambil dalam menangani beberapa isu dibangkitkan sebelum ini.


“Kita nak maklumkan kepada perwakilan yang hadir bahawa suara akar umbi di peringkat bahagian serta cawangan sentiasa didengari melalui kaedah usul untuk disampaikan kepada kerajaan yang menggubal dasar supaya tindakan dapat diambil.


“Melalui buku manual itu, mereka dapat mengetahui bahawa suara mereka sentiasa didengari oleh parti untuk disampaikan kepada kerajaan,” katanya.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau memaklumkan bahawa kandungan buku berkenaan turut mengandungi maklumat sebenar mengenai pemansuhan Plaza Tol Batu Tiga seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini.


Menurutnya, isu pemansuhan Plaza Tol Batu Tiga tersebut sebenarnya telah dibawa oleh Pemuda Umno Shah Alam dan Pemuda Umno Selangor sejak dahulu lagi, di mana pihak berkenaan telah menyuarakan desakan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.


“Kalau ada mana-mana pihak yang mendakwa bahawa isu itu merupakan perjuangan mereka, itu adalah tidak benar kerana kita terlebih dahulu menyuarakan perkara ini kepada kerajaan.


“Sebab itu buku manual ini dikeluarkan supaya perwakilan mendapat maklumat di samping untuk menggelakkan pihak lain cuba mengambil kredit atas usaha kita,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]