Dapat panggilan hasut, ugut

in Edisi Johor by


KLUANG – Satu laporan polis dibuat oleh bekas Ketua Pemuda Bersatu Sembrong atas faktor keselamatan berikutan didakwa sering menerima gangguan berupa panggilan telefon daripada individu tidak dikenali.


Abdul Naim Abdul Razak, 26, berkata, panggilan telefon berkenaan dipercayai daripada ahli parti politik dan beliau tampil membuat laporan di Balai Polis Kahang, pada awal bulan ini.


Menurutnya, laporan polis berkenaan dilakukan susulan beliau sering menerima panggilan daripada nombor yang sama berulang kali, yang turut menghubungi rakan pimpinan yang lain.


“Kejadian ini berlaku selepas saya dan rakan pimpinan membuat laporan aduan rasmi di pekarangan Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), di Putrajaya baru-baru ini.


“Saya juga menerima panggilan telefon dari nombor berbeza yang lain, yang juga tidak saya kenali. Nombor telefon berkenaan cuba mengganggu saya dengan menghantar rakaman suara seolah-olah memperlekeh, menghina dan berbentuk hasutan serta ugutan,” katanya.


Abdul Naim berkata, panggilan telefon itu juga memintanya memberitahu lokasi tempat kerja untuk berjumpa tanpa sebarang sebab.


“Beliau juga meminta saya berjumpa dengannya sambil minum air dan melepak berdua sahaja serta mencuba untuk merasuah saya dengan ungkapan ‘duit minyak’.


“Bukan itu sahaja, ada lagi nombor berbeza yang lain yang menghubungi saya berulang kali. Ia seolah-olah memaksa saya mengangkat panggilannya seperti saya ini melakukan kesalahan,” katanya.


Abdul Naim turut mendakwa bahawa nombor-nombor telefon yang menghubungi itu adalah milik ahli sebuah parti politik.


Menurutnya, disebabkan pelbagai gangguan diterima, beliau membuat laporan polis atas faktor keselamatan diri dan keluarganya.


“Saya rasa laporan polis perlu dibuat memandangkan situasi ini mengganggu kehidupan dan penggerakan saya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]