Kemalangan bas menurun hingga Oktober

in Semasa by


KUALA LUMPUR – “Sebanyak 5,975 kes kemalangan melibatkan bas direkodkan  Polis Diraja Malaysia (PDRM)  daripada Januari sehingga Oktober tahun ini berbanding 9,462 kes dicatatkan  sepanjang tahun lepas,” kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor.


Beliau berkata, PDRM mengadakan Operasi Khas Bas selama 11 hari di seluruh negara bermula 20 November lepas bagi mengurangkan kadar kemalangan melibatkan pengangkutan awam itu selain memastikan pemandu serta pengusaha bas sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelak kemalangan.


“Operasi khas ini akan memfokuskan pemeriksaan kepada semua jenis bas iaitu bas ekspres, bas persiaran, bas kilang, bas sekolah, bas henti-henti dan bas mini,” katanya dalam sidang media operasi khas bas di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, awal pagi tadi.


Beliau berkata, PDRM juga melakukan ujian saringan air kencing terhadap semua pemandu bas ekspres sebelum mereka memulakan perjalanan.


“Seramai 2,544 pemandu bas menjalani ujian saringan kencing dan daripada jumlah itu, seramai 47 pemandu didapati positif dadah.


“Sebahagian daripada mereka (pemandu bas) sudah dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sebahagian lagi sedang menunggu keputusan laporan patologi,” katanya.


Sharul Othman berkata sepanjang operasi itu, PDRM telah memeriksa sebanyak 5,692 bas dengan 1,619 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.


Operasi khas bas dijalankan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]