Malaysia negara Islam unik bagi negara Islam lain

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Malaysia yang berpegang dengan prinsip wasatiyyah (kesederhanaan) dilihat sebagai negara Islam yang unik dan progresif sehingga diiktiraf  banyak negara Islam lain, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.


Selain itu, beliau berkata kebebasan beragama yang diamalkan di negara ini meskipun Islam adalah Agama Persekutuan turut menjadikan Malaysia dianggap unik oleh ramai pemimpin dunia.


Beliau berkata keunikan itu juga menarik perhatian negara lain untuk mencontohi model negara Islam Malaysia, selain menjadi faktor bagi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Malaysia.


Asyraf Wajdi berkata demikian dalam forum ‘Mendaulatkan Institusi Raja Dalam Perspektif Agama’ sempena Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional  2017 (Pemanas) di sini hari ini, sebagai antara program menjelang Perhimpunan Agung Umno 2017, yang bermula Selasa ini.


Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata sebagai parti yang menerajui BN, Umno sentiasa berusaha memperjuangkan hal-hal berkaitan Islam dan memperkasa institusi-institusi keagamaan.


“Sebagai contoh, tahun ini sahaja Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerima peruntukan tambahan hampir RM1 bilion kerana kita belanjakan RM558 juta dari RM994 juta yang diperuntukkan hanya untuk membayar elaun imam.


Selain itu sebanyak RM1.3 bilion setahun diperuntukkan untuk bahagian pendidikan Islam di bawah Kementerian Pendidikan, selain pelbagai peruntukan lain,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]