‘Mak cik ingatkan gempa bumi’

in Edisi Terengganu by


HULU TERENGGANU – “Selepas dikejutkan bunyi dentuman, bekalan elektrik terputus dan rumah bergegar. Hanya ALLAH SWT tahu perasaan ketika itu sampai mak cik sangka berlaku kejadian gempa bumi,” kata Rokiah Mat Ali, 67, yang merupakan pemilik kedai kopi dirempuh treler, malam kelmarin.


Menceritakan insiden kira-kira jam 11.30 malam itu, Rokiah berkata, dia bersama anaknya, Mohd Rolabjan Saibi, 32, ketika itu berada di ruang tamu rumah kedai mereka sebelum bersiap-siap untuk tidur.


“Sejurus dengar bunyi dentuman, mak cik sangka bunyi guruh dan anak pula fikir ada seseorang menendang pintu. Namun setelah rumah bergegar terus terlintas ketika itu berlaku gempa bumi hingga membuatkan mak cik begitu berdebar dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.


“Mak cik beranikan diri buka pintu utama untuk meninjau ke luar, tapi tak nampak apa-apa sebab gelap-gelita. Tak lama lepas itu anak yang tinggal bersebelahan, Adnan Othman, 26, telefon mak cik bagi tahu ada treler terbabas rempuh bahagian tepi garaj dan kedai kopi.


“Selepas itu barulah mak cik boleh tarik nafas lega. Bila keluar dari rumah, mak cik dapat lihat keadaan yang terjadi. Treler terbabas dari arah Ajil menghala ke Bukit Besi terlebih dahulu rempuh tiang elektrik sebelum kedai mak cik dan terus meluru sejauh hampir 100 meter.


“Bahagian depan kedai yang diusahakan sejak 2000 bersama suami (kini arwah) ranap sekelip mata. Sedih memang sedih, tapi mak cik bersyukur kerana terselamat. Pemandu dan kelindan treler itu juga hanya luka-luka kecil,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan dia dan anaknya yang tinggal bersama tidak dapat meneruskan perniagaan serta mengalami kerugian dianggarkan melebihi RM10,000.


Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana kejadian berlaku pada waktu malam dan tidak melibatkan kehilangan jiwa.


“Saya turut berterima kasih pada Pejabat Dun Ajil dan Adun Ajil, Ghazali Taib yang bukan saja turun padang, tapi turut menyalurkan peruntukan segera untuk baik pulih kerosakan sekali gus mengurangkan kerugian.


“Cuma mak cik harap dapat kembali berniaga secepat mungkin. Lagipun ini sajalah sumber pendapatan mak cik sejak dulu,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]