Pembangunan Kuala Perlis disambung semula

in Edisi Utara by


ARAU – Projek mega pembangunan Kuala Perlis syarikat Kumpulan Tabung Haji  Properties (THP) akan disambung semula sebaik urusan melantik kontraktor baharu selesai dalam masa terdekat.


Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata projek tersebut yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun ini tergendala kerana kontraktor yang dilantik menghadapi masalah.


“Saya dimaklumkan pelantikan kontraktor baharu hampir selesai dan kerja-kerja pecah tanah akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama semasa ditemui selepas melancarkan Gotong-Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes Siri 2 Kebangsaan peringkat negeri, di sini hari ini.


Projek usahasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan THP atas tapak tebus guna pantai Kuala Perlis bernilai RM311.4 juta dirancang dibangunkan dalam tiga fasa selama tujuh tahun.


Pembangunan itu membabitkan pembinaan kompleks beli-belah, hotel 24 tingkat bertaraf tiga bintang, pangsapuri 36 tingkat, kompleks kedai dan pejabat serta kompleks letak kereta bertingkat.


“Projek ini (tempat letak kereta bertingkat) walaupun tidak dapat memenuhi sepenuhnya permintaan  pemilik kenderaan terutama pelancong yang ke Langkawi melalui Kuala Perlis, namun keperluan mereka tetap diutamakan,” kata Azlan.


Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil tahu keperluan pelancong yang memerlukan tempat selamat untuk meletak kenderaan mereka bagi meneruskan perjalanan ke Langkawi.


“Kementerian Pelancongan meluluskan RM20 juta bagi membina kompleks letak kereta bertingkat pada 2013 tetapi Unit Perancang Ekonomi (EPU) setelah membuat kajian semula projek itu, menarik balik peruntukan tersebut pada 2014,” katanya.


Kerajaan negeri melihat peluang tersebut dan berusaha mendapatkan pihak swasta untuk  membina kompleks bertingkat meletak kereta dan THP telah menyahut seruan itu kerana melihat keperluan dalam jangka masa panjang.


Katanya bayaran yang dikutip akan digunakan bagi mengurus kompleks tersebut seperti penyelenggaraan, pemeliharaan bangunan dan sistem meletak kereta.


Mengenai Kuala Perlis yang akan sesak pada musim cuti, Azlan berkata kerajaan negeri menyedari masalah tersebut dan membenarkan tapak projek  PKENPs yang belum dibangunkan dijadikan tempat sementara meletak kenderaan pelancong.


“Saya berharap orang ramai dan pengusaha letak kereta persendirian lebih bertanggungjawab dan tidak meninggalkan kenderaan mereka di tempat yang tidak dibenarkan kerana menghalang jalan,” katanya.


Terdahulu, beliau yang juga menteri besar ketika berucap melancarkan gotong-royong berkata rakyat  seharusnya hidup dalam persekitaran yang bersih dan selamat  daripada ancaman nyamuk aedes.


Katanya peribahasa ‘jangan jaga tepi kain orang’ harus diubah kepada mesti jaga tepi kain orang bagi kepentingan bersama seperti menegur jiran supaya membersihkan tempat pembiakan nyamuk.


“Jika seekor nyamuk aedes menggigit seorang pengidap demam denggi, seluruh kawasan boleh menjadi wabak apabila nyamuk tersebut menggigit orang lain dan seterusnya,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]