Bersatu pertahan ahli sunnah

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Seluruh masyarakat Islam disaran supaya bersatu dan berusaha mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara serta seluruh dunia.


Pengerusi Majlis Syura Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma), Dr Abdullah Yasin berkata, perkara itu memerlukan kerjasama daripada semua pihak agar ia tidak terpengaruh dengan sebarang anasir tidak baik.


“Usaha seperti ini sudah kami lalui, beberapa usaha dilakukan untuk menyatukan pertubuhan-pertubuhan sunnah ini dari dulu lagi.


“Ketika itu ada pelbagai nama pertubuhan, tetapi takdir ALLAH kita gagal (bersatu) atas sebab-sebab tertentu,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa ucapan aluan pada Multaqa Tahunan Gasma kali ke-2 di Seameo Rescam, Gelugor, di sini, semalam.


Majlis tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Turut hadir pada majlis itu ialah Mufti Masjidil Haram Makkah, Syeikh Dr Sulaiman Al Salumi.


Menurutnya, diharapkan dengan penubuhan Gasma ini dapat memperkukuhkan lagi usaha bersama pelbagai pertubuhan sunnah.


“Sebab itu kerjasama daripada semua pihak sangat kami harapkan. Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran meminta kita bersatu, hadis-hadis nabi juga memberi isyarat agar kita bersatu, bertolak ansur dan banyak bersabar.


“Antara usaha untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik seperti ini memang banyak cabarannya,” katanya.


Tegasnya, selagi iblis itu masih ada maka selagi itulah masyarakat Islam akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.


“Kita yang faham agama perlu faham, ujian ALLAH bila datang bertubi-tubi dan silih berganti bukan bermakna ALLAH benci kita.


“Ini yang kita cuba sampaikan kepada jemaah,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]