Jadikan keluarga al-Quran

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kawasan Keramat, Kuala Lumpur dipilih sebagai program perintis  dinamakan Keramat Lab, yang inisiatifnya digerakkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membina keluarga berlandaskan al-Quran.


Ia susulan tragedi kebakaran pusat tahfiz di kawasan berkenaan, yang meragut 23 nyawa pada 14 September lalu.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, insiden itu memberi kesedaran betapa pentingnya pengukuhan institusi keluarga, masyarakat dan negara.


“Sebelum ini kita telah menggerakkan My Family #QuranHour di seluruh negara, tetapi apabila terjadi tragedi tahfiz ini, kita perlu fokus kepada sesebuah kawasan sebagai model.


“Justeru, diharap Keramat Lab menjadi projek perintis yang akan menjadi contoh di tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Keramat Lab, semalam.


Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Taman Tasik Datuk Keramat, di sini.

Johari (empat, kiri) dan Hussamuddin (tiga, kiri) menunjukkan sokongan terhadap Kempen My Family #QuranHour pada majlis pelancaran Keramat Lab, semalam. – Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


Hadir sama, isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Shamshida Taharin dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.


Marhaini berkata, melalui agenda My Family #QuranHour, beberapa program telah disusun sepanjang 12 bulan bagi pengisian pembinaan keluarga al-Quran.


“Antaranya, Rumah Ngaji, program tadabbur dan tazakkur yang mengajak berinteraksi dengan al-Quran serta latihan transformasi kepada 1,000 remaja dan ibu bapa.


“Selain itu, kita juga adakan program RICH dan ‘subuh keliling’ mengenai ‘9 pesan Lukman untuk pembinaan keluarga’ dengan kerjasama masjid,” katanya yang mensasarkan penyertaan 100 keluarga sekitar Keramat sebagai permulaan.


Menurutnya, yayasan bersama rakan sinergi yang lain mengharapkan maklum balas yang positif dalam kalangan masyarakat setempat.

Peserta My Family #QuranHour membaca al-Quran pada majlis pelancaran Keramat Lab di Taman Tasik Datuk Keramat. – Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


“Ia bermula daripada ayah, ibu, anak, datuk dan nenek. #SavingFamilies mengajak solidariti ummah untuk membina nilai al-Quran dalam setiap perlakuan,” katanya.


Sementara itu, Johari dalam ucapannya berkata, kehidupan umat Islam perlu meletakkan al-Quran sebagai asas.


“Waktu saya membesar, fundamental kehidupan saya, mengaji adalah kewajipan.


“Begitu juga ketika berada di luar negara, kalau tiada asas keagamaan ini, kita tidak tahu bezakan antara ubat dan pil kuda kerana kita tidak tahu asas,” katanya yang menyambut baik pelaksanaan Keramat Lab itu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]