Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan

in Edisi by


KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 10,292 orang setakat 1 tengah hari berbanding 10,608 pada 8 pagi tadi.


Kesemua mangsa ditempatkan di 34 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh dan Kota Bharu.


Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 6,355 mangsa daripada 2,834 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS, diikuti Tumpat dengan 3,717 orang (1,324 keluarga) di lapan PPS.


Di Pasir Puteh, seramai 121 mangsa (30 keluarga) ditempatkan di tiga PPS manakala Kota Bharu, seramai 99 mangsa daripada 23 keluarga dipindahkan ke dua PPS.


Portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang menurun kepada 10.20 meter pada pukul 1 tengah hari ini berbanding 10.25 meter pada 7 pagi tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.


Paras air Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula turun kepada 3.42 meter berbanding 3.46 meter dalam tempoh sama. Paras bahaya 2.50 meter.


Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan setakat pukul 1 tengah hari ini dan cuaca dilaporkan mendung. – Bernama


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]