Sinar Harian, Nestle redah banjir

in Nasional by


RANTAU PANJANG – Sinar Harian bersama Nestle meneruskan program kemasyarakatan dengan meredah banjir bagi menceriakan mangsa bah di negeri ini, sempena Program Tangan Dihulur, Tangan Bersambut.


Program tahunan Sinar Harian kali ini, singgah di jajahan pertama iaitu di Rantau Panjang dengan mengagihkan bantuan makanan.


Dalam keadaan hujan renyai, kumpulan kami mengharungi banjir dengan bantuan Penolong Penguasa Bomba 1, Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Zaimi Samat bersama anggotanya menaiki jentera berat.


Program turut disertai Pegawai Pemasaran Saluran Pembangunan Sinar Harian, Mokhtar Yassin Mustapha; Unit Promosi Luar  Milo, Muhammad Sulaiman dan Unit Promosi Luar Maggi, Mohd Hazri Habafi.


Dalam keadaan hujan gerimis, kira-kira 600 cawan Maggi dan lebih 800 cawan Milo diagihkan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kubang Kuau, Masjid Muhammad Kampung Teresan dan juga anggota keselamatan bertugas di lapangan termasuk penduduk yang terperangkap.

Anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas diberikan Maggi percuma


Program tahunan itu diteruskan bagi menceriakan mangsa-mangsa banjir di kawasan terpilih dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.


Mangsa banjir, Sharifah Berahim menyambut baik program sebegini kerana baginya ia sekurang-kurangnya dapat menggembirakan kanak-kanak.


“Kita dapat rasa kelainan. Musim-musim hujan di pusat pemindahan ni, orang datang bawakan Maggi dan Milo,” katanya.


Seorang lagi mangsa banjir, Yusaiman Yusni, 15, berkata, sudah seminggu dia menumpang di SK Kubang Kuau kerana kawasan rumahnya tidak selamat untuk didiami.


“Memang sedih bila ingatkan rumah, ingat baju-baju sekolah, kami doa moga semuanya selamat dan cepat boleh balik rumah.


“Tapi seronok sekejap bila ada Milo dan Maggi. Dapat makan ramai-ramai dengan kawan-kawan. Hilang sejuk sekejap,” katanya.


Mohd Fazrul Amsyar Sukri, 9, pula berkata, setiap kali banjir, keluarganya terpaksa berpindah dan perlu membuat persediaan awal berikutan bimbang terperangkap.


“Walaupun seronok dapat duduk di sini ramai-ramai tapi tetap hati tak tenang sebab banyak barang masih ada di rumah.


“Terima kasih Sinar Harian datang gembirakan kami walaupun seketika,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]