Tidak boleh tangguh lagi

in Edisi Terengganu by


RANTAU PANJANG – Saban tahun, banjir di pesisir Sungai Golok sudah menjadi satu kelaziman khususnya kepada penduduk setempat.


Situasi itu disebabkan benteng di sebelah Thailand sudah lama dibina, menyebabkan air sungai melimpah dan memasuki kawasan Rantau Panjang.


Isu ini juga sudah lama dibincangkan, sejak puluhan tahun, tetapi sejak kebelakangan ini perkara tersebut mendapat perhatian tertinggi pucuk pimpinan negara.


Hasilnya, Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM800 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi melakukan projek tebatan banjir sebagai pelan jangka panjang mengatasi masalah banjir di Kelantan.


Fasa pertama projek bernilai RM300 juta sudah diluluskan di lembangan Sungai Golok, diikuti projek pengorekan muara Sungai Kelantan dan pembinaan tambak berjumlah RM500 juta di bawah RMK-11 dan akan dibangunkan di negeri ini.


Pembinaan tebatan banjir ini melalui Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) membabitkan tiga fasa iaitu fasa pertama di hilir Lembangan Sungai Golok di Tumpat dan Pasir Mas, manakala fasa kedua dan ketiga membabitkan jajahan di Tanah Merah serta Jeli.


Difahamkan kerja ukur sempadan di Sungai Golok sepanjang 168 kilometer sudah siap sepenuhnya bagi tujuan pembinaan benteng tebatan banjir.


Bagaimanapun, setakat ini, projek ini masih belum dilaksanakan, malah tidak berada dalam satu daripada Bajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.


Sehubungan itu, rata-rata pimpinan negeri, sama ada kerajaan mahupun pembangkang turut bersetuju agar kerajaan menjadikan projek itu sebagai keutamaan untuk dilaksanakan dengan segera.


Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok perlu disegerakan bagi menangani masalah banjir di negeri ini.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, tanpa tebatan banjir ini, penduduk di negeri ini berdepan dengan masalah yang sama, setiap tahun.


Menurutnya, Kerajaan Persekutuan sudah membuat perancangan untuk membina tebatan di sepanjang Sungai Golok namun belum terlaksana.


“Dah lama kita tunggu maka kita harap projek-projek untuk mengurangkan kerugian akibat banjir ini dapat disegerakan,” katanya, selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, semalam.


Sementara itu Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, setiap kali pembentangan belanjawan, isu tebatan banjir sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat di negeri ini.


Namun selepas hampir dua dekad berlalu, beliau berkata, usaha berkenaan masih tidak menampakkan hasil.


“Saya dah usul isu ini sejak menjadi Senator pada tahun 2000, malah meneruskan usaha yang sama selepas menjadi Ahli Parlimen di sini.


“Rakyat juga sudah jemu dengan perbincangan serta rancangan yang diutarakan sejak Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), sekarang dah RMK-11, masih tiada tanda-tanda pembinaan akan dilaksanakan,” katanya.


Zailah turut mempertikaikan kelewatan pembinaan biarpun peruntukan pembinaan banteng diluluskan sebelum ini.


Katanya, tanpa tebatan, ia menyebabkan sektor ekonomi di Rantau Panjang lumpuh, penoreh tidak dapat ke kebun, penternak alami kerugian apabila ternakan mati dan peniaga terpaksa tutup kedai selepas air melimpah masuk ke premis perniagaan.


Info tebatan banjir:


– Kos keseluruhan projek ini menelan belanja  RM1.2 billion dan fasa pertama menelan belanja sebanyak RM 300 juta.


– Cadangan tebatan sepanjang 129 kilometer sempadan di Sungai Golok dari Bukit Bunga, Jeli ke Pengkalan Kubor, Tumpat.


– Kerajaan Thailand sudah memulakan pembinaan benteng di beberapa kawasan di negara tersebut sejak beberapa tahun lalu.


– Banyak rumah dibina terlalu dekat dengan Sungai Golok sehingga boleh menyukarkan usaha pembinaan tebatan di sini.


– Saranan Kerajaan untuk mengambil alih tanah sepanjang 129 kilometer di sempadan Malaysia Thailand dekat Sungai Golok mendapat pelbagai reaksi masyarakat.


– Pembinaan tebatan akan mengurangkan kerugian rakyat terutama di sepanjang sungai, begitu juga peruntukan bantuan daripada kerajaan pusat kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara setiap tahun


– Tahun lepas sahaja, lebih RM2.1 juta wang ihsan disampaikan kepada 4,318 mangsa banjir seluruh Parlimen Rantau Panjang.


– Tanpa tebatan banjir ini, ia menyebabkan sektor pertanian, ekonomi dan pelancongan terjejas teruk.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]