Anggota two brothers ditembak mati

in Semasa by


LAHAD DATU – Pasukan keselamatan menembak mati seorang suspek dipercayai anggota Kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dalam insiden berbalas tembakan di perairan Pulau Kantong Kalungan, di kawasan Laut Silam di sini, awal hari ini.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, suspek Abu Paliyak, berumur  30-an, yang juga  anggota kumpulan Remy atau dikenali sebagai Two Brothers, dipercayai keluar ke laut bagi membuat pemerhatian pergerakan pasukan keselamatan dan menyalurkan maklumat kepada kumpulan KFR untuk melakukan jenayah rentas sempadan di kawasan perairan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).


Bagaimana pun katanya, sepasukan anggota daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu dan Pasukan Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang melakukan rondaan penyamaran terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan.


“Ketika bot pasukan keselamatan cuba menghampirinya dan memperkenalkan diri sebagai polis,  tiba-tiba bot suspek memecut melarikan diri dan suspek melepaskan tembakan dalam jarak 20 hingga 30 meter ke arah bot keselamatan.


“Berikutan itu, pasukan keselamatan melepaskan empat das tembakan balas  dan beberapa minit kemudian polis menghampiri bot suspek dan menemukan suspek terbaring mati dengan kesan tembakan di rusuk kiri dan kanan,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini, hari ini.


Ramli berkata pemeriksaan lanjut bot turut menemukan selaras senapang patah yang diubah suai bersama sebutir kelongsong  peluru di dalam kebuk senjata dan sebutir lagi peluru di dalam bot.


Hasil pemeriksaan ke atas badan suspek, Ramli berkata pihaknya turut mendapati terdapat kira-kira sembilan parut lama dipercayai kesan tembakan dan terkena bahan letupan di bahagian paha kanan, perut dan lengan kanan manakala jari tengah sebelah kiri turut putus.


“Suspek yang juga dikenali sebagai Komander Paliyak atau Yusof ini pernah terlibat dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di laut kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar 2014 serta 2015,” katanya.


Menurut Ramli ini merupakan kejayaan kedua pasukan keselamatan yang diselaraskan Esscom menumpaskan suspek KFR selepas insiden pertama di Pulau Burung di Kunak pada September tahun ini.


“Kumpulan Two Brothers ini dianggotai sebelas anggota dan aktif menculik untuk wang tebusan di Esszone, lima daripadanya telah ditangkap manakala empat lagi ditembak mati  pihak berkuasa Filipina.


“Seorang lagi masih bebas dan kini dipercayai berada di kawasan Selatan Filipina dan hari ini kita tembak Abu Paliyak,” katanya suspek pernah terlibat dalam penculikan di Pulau Bait pada tahun 2014.


Sementara itu, Ramli berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan saki baki tali  barut KFR dan seorang lagi anggota Two Brothers yang masih bebas.


Beliau berkata berikutan kejayaan menembak mati suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes rompakan di laut dan penculikan yang berlaku di Esszone.


Ramli turut meminta orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan sekiranya mengetahui sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. – Bernama

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]