Ayamas peneraju kedai ayam panggang

in Bisnes by


KEDAI Ayamas bukanlah satu jenama asing di dalam negara ini, bahkan, sudah berada dalam pasaran sejak 1988 lagi, yang mana ketika itu memulakan operasinya di Seapark, Petaling Jaya.


Peneraju kedai ayam panggang di Malaysia ini merupakan sebahagian daripada syarikat Johor Corporation (JCorp), mengendalikan rangkaian restoran makanan segera terkemuka, KFC.


Ketua Pegawai Operasi Kedai Ayamas, Kara Holdings Sdn Bhd, Rafiq Mossa berkata,  kewujudan Ayamas bermula apabila terdapat lebihan ayam mentah yang tidak memenuhi saiz yang diperlukan bagi KFC.


“Jadi apa akan jadi dengan ayam yang tidak cukup saiz atau saiz terlalu besar? Oleh itu, kami mencari jalan penyelesaian bagaimana menjual ayam-ayam tersebut.


“Akhirnya, syarikat mencapai kata sepakat untuk mewujudkan Kedai Ayamas, iaitu kedai yang menjual ayam dan bahagian ayam,” katanya ketika menceritakan sejarah Kedai Ayamas kepada Sinar Harian, baru-baru ini.


Awal penubuhan kedai itu, Rafiq mengakui turut berhadapan dengan masalah dan cabaran apabila berlakunya kekurangan ayam di Kedai Ayamas selama hampir 10 tahun operasinya.


Menurutnya, ia berlaku kerana Kumpulan QSR memberi tumpuan bekalan yang utama kepada KFC dan Pizza Hut.


Sehinggalah pada 2006, apabila Johor Corporation (JCorp) ambil alih Ayamas daripada Kumpulan QSR dan bertindak untuk menjadikan Kedai Ayamas menjadi rangkaian peruncitan yang memberi tumpuan kepada produk tempatan.


Kini, Kedai Ayamas bukan sahaja menjual ayam tetapi turut membantu memasarkan produk syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Produk RTE yang boleh didapati di semua Kedai Ayamas seluruh negara.


“Setakat ini, kami mempunyai kira-kira 200 unit penyimpan stok (SKU) di bawah jenama Ayamas yang dijual di semua 49 cawangan Ayamas di seluruh negara,” katanya.


Rafiq berkata, kebanyakan Kedai Ayamas boleh didapati di Lembah Klang.


Mengulas berhubung perluasan perniagaan kedai Ayamas, Rafiq berkata, Ayamas menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya lima hingga enam cawangan setahun.


“Fokus kami adalah di kawasan Lembah Klang dan buat masa ini tidak berminat untuk membuka cawangan di luar Lembah Klang kerana mendapati pasaran ini masih luas dan belum diterokai sepenuhnya.


“Pelaburan bagi membuka satu cawangan bergantung kepada saiz dan lokasi, yang mana purata RM350,000 hingga RM450,000 termasuk pengubahsuaian bagi satu cawangan,” katanya.


Bantu pasar produk PKS


Pengambilalihan 100 peratus oleh JCorp pada 2014 mendorong Ayamas mengembangkan perniagaan dengan membantu membangunkan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera tempatan.


Rafiq berkata, Ayamas bekerjasama dengan PKS memasarkan produk tempatan khususnya sejuk beku seperti karipap ayam sejak empat tahun lalu.


“Sehingga kini, kami mempunyai enam produk PKS sedia ada dan sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat tempatan bagi menggalakkan mereka gunakan Ayamas sebagai batu loncatan mempromosikan produk.


“Kami mahu membantu PKS Bumiputera untuk memasarkan produk di Kedai Ayamas tetapi dengan memilih PKS yang layak,” katanya.


Antara kelayakan adalah setiap PKS yang berminat perlu mendapatkan sijil halal bagi produk yang ingin dipasarkan.


Menurutnya, Ayamas turut membantu PKS untuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekiranya ingin memasarkan produk di Kedai Ayamas.


Bagaimanapun, Rafiq berkata, setakat ini, Ayamas memberi tumpuan mengutamakan produk yang berasaskan ayam.


Namun, Rafiq tidak menolak kemungkinan akan membawa masuk produk berasaskan daging pada masa depan.


*** DAPATKAN LAPORAN PENUH DI AKHBAR SINAR HARIAN HARI INI.


Source: SH Bisnes
{$inline_image}
[featured-video-plus]