Esscom kini di landasan betul

in Semasa by


SANDAKAN – Biarpun jenayah rentas sempadan di perairan timur negeri ini masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya, namun pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berada di landasan yang betul dalam usaha membanteras jenayah itu, khususnya kes penculikan.


Kejayaan terbaru Esscom menembak mati seorang suspek penculik dipercayai anggota Kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) di perairan Pulau Kantong Kalungan, Lahad Datu hari ini menunjukkan kemampuan ketara agensi itu dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.


Insiden itu merupakan kes pertama yang membabitkan suspek culik ditembak mati pada tahun ini. Pada 8 Disember tahun lepas, tiga suspek penculik ditembak mati oleh Pasukan Gerakan Am di perairan Pulau Gaya Semporna.


Berikutan kejayaan terbaru itu, masyarakat di pantai timur negeri ini terus menaruh keyakinan dan sokongan kepada Esscom dalam memerangi penjenayah rentas sempadan.


Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah Cawangan Lahad Datu, Datuk Nagaraju Apalasamy berkata, kejayaan terbaru Esscom itu menunjukkan agensi berkenaan tidak leka dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan, terutama di kawasan pantai timur Sabah.


Katanya, masyarakat khususnya di daerah Lahad Datu memberi keyakinan tinggi dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Esscom sejak ia diwujudkan empat tahun lepas.


“Keyakinan diberikan masyarakat itu berbaloi dengan Esscom berada di landasan yang sepatutnya dalam memastikan keselamatan di pantai timur negeri ini pada tahap terbaik.


“Paling ketara adalah tindakan yang diambil Esscom dalam memerangi kejadian penculikan di perairan adalah berkesan,” katanya kepada Bernama.


Beliau turut menyifatkan komitmen kerajaan dalam menambah aset pasukan keselamatan di bawah Esscom menjadi faktor penting bagi mewujudkan suasana aman dan selamat di kawasan itu.


Di pihak nelayan pula, mereka menyifatkan kejayaan Esscom menembak mati suspek penculik itu sebagai permulaan lembaran baharu yang lebih baik dari segi keselamatan.


Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan, Asmaul Gindung berkata golongan nelayan terutama kapal nelayan laut dalam kini bertambah yakin akan keselamatan mereka ketika keluar ke laut.


Katanya keadaan ini berbeza sebelum tiga suspek penculik ditembak di perairan Semporna pada Disember tahun lepas dengan kapten dan kru kapal nelayan laut dalam, sentiasa dalam keadaan bimbang akan keselamatan mereka ketika keluar ke laut.


“Dalam hal ini, kita berterima kasih kepada kerajaan yang mewujudkan Esscom untuk membela nasib rakyat Sabah, terutama dalam soal keselamatan,” katanya.


Beliau berkata dalam usaha meningkatkan keselamatan di perairan itu, masyarakat nelayan selaku komuniti maritim sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak Esscom dalam menjayakan apa juga program dan tindakan ke arah itu.


Ini termasuk dalam menyalurkan maklumat apa juga aktiviti yang mencurigakan di kawasan perairan kepada pasukan keselamatan, katanya. – Bernama

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]