Ibu anak tujuh lega anak terima bantuan persekolahan

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – “Saya baru sahaja bermula berniaga secara kecil-kecilan berdekatan rumah untuk membantu suami selain mencari wang belanja untuk menyediakan peralatan sekolah anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan baharu tidak lama lagi,” cerita Roslinda Yeem, 39.


Bagaimanapun, perkhabaran yang diterima oleh ibu anak tujuh baru-baru ini menambah rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dua daripada empat anaknya terpilih dalam Program Bantuan Awal Persekolahan 2018 Yayasan Penyayang Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) sesi pertama.


Dua anak perempuan Roslinda iaitu Rosnatasha Mohamad Hafiza, 7, serta kakaknya Rozatul Najwa, 10, yang kedua-duanya belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Kupang, Gelang Patah antara 287 murid yang terpilih dalam program tersebut yang merupakan kerjasama bersama Umno Bahagian Gelang Patah.


Menurut Roslinda, kira-kira lebih sebulan dia berniaga pelbagai juadah termasuk sate dan rojak bagi membantu ekonomi keluarganya berikutan suaminya, Mohamad Hafiza Abu Talib, 40 bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu.


“Kalau dihitung, gaji suami hanya sekitar RM700 setiap bulan. Dapatlah buat belanja dapur dan sekolahkan anak-anak. Lebihan hasil laut yang ditangkap suami, dapatlah kami anak beranak buat makan.


“Saya baru belajar berniaga untuk bantu suami. Jadi, bila dimaklumkan dua anak saya terima bantuan persekolahan, saya sangat bersyukur. Setiap tahun saya peruntuk lebih RM100 untuk belanja peralatan sekolah setiap anak dan biasanya saya hanya tukar mana yang penting sahaja dan pilih harga yang ekonomi sahaja.


“Ini adalah kali pertama dua anak saya menerima bantuan tersebut,” katanya yang memberitahu dua anaknya yang berumur 24 dan 22 tahun telah bekerja sambilan dan turut membantu meringankan keluarga itu.


Sementara itu, Pengerusi Yayasan Penyayang  MPJBT yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Johor dan Ketua Umno Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik berkata, semua murid yang terpilih adalah dalam kalangan yang kurang berkemampuan dan bersekolah dalam kawasan MPJBT.


“Setiap penerima boleh pilih sendiri barangan sekolah di Mydin Anjung Bazar Nusajaya dengan bajet RM100,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]