Perkukuhkan institusi Islam

in Edisi Selangor KL by


SUBANG JAYA – Kerajaan negeri akan menanggung sebahagian kos pembinaan dan pembangunan Masjid Putra Heights yang dianggarkan berjumlah keseluruhan hampir RM28 juta.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, daripada jumlah itu, RM5 juta akan ditanggung oleh kerajaan persekutuan manakala RM1 juta oleh syarikat pemaju, Sime Darby Properties.


Menurutnya, baki kos selebihnya diperoleh hasil sumbangan anak-anak kariah yang menginfak dan mewakafkan harta masing-masing.


“Ini usaha yang baik dan mendapat sokongan kerajaan negeri kerana kita mahu kos pembinaan masjid bukan hanya disumbangkan kerajaan semata-mata namun juga daripada anak-anak kariah melalui Institusi Wakaf yang diperkasakan,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Masjid Putra Heights, di sini, semalam.


Mohamed Azmin berkata,  masjid tersebut dijangka siap pada tahun 2020 dan bakal memanfaatkan lebih 4,000 jemaah di sekitar kawasan tersebut.


Katanya, kerajaan negeri sudah membuat keputusan mengekalkan keputusan asal tapak tersebut sebagai tapak masjid.


“Saya akui isu Masjid Putra Heights ini sudah berlarutan sekian lama kerana tapak masjid yang asal telah diwartakan bagi pembinaan Institusi Islam.


“Ketika pentadbiran lama memang terdapat usaha untuk diserahkan kepada pemaju dan dijual,” katanya.


Beliau dalam pada itu, memberitahu 13 buah masjid lagi akan dibina di seluruh Selangor bermula bulan ini hingga tahun depan.


Katanya, kerajaan negeri melihat masjid dan surau adalah institusi yang penting untuk menjamin perpaduan umat Islam keseluruhannya.


“Kita mahu didik umat Islam supaya bersikap sederhana dan tidak terlibat dalam aktiviti radikal serta  ekstremis kerana ia jelas mencemarkan identiti umat Islam dan orang Melayu khususnya,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]