Persaingan dalam perniagaan motif kes gaduh

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


PORT DICKSON – Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dengan kes pergaduhan dengan seorang lelaki kurang dua jam selepas kejadian di kawasan industri di Bukit Pelandok enam petang semalam.


Ketua Polis Daerah, Superitendan Zainudin Ahmad berkata, empat lelaki berusia antara 34 hingga 49 tahun kini di reman polis untuk siasatan lanjut.


Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, pergaduhan berpunca daripada persaingan dalam perniagaan.


“Suspek berusia 49 berniaga minuman keras di kawasan industri berkenaan pendapatannya merosot selepas mangsa membuka perniagaan sama di kawasan berkenaan.


“Suspek memberi upah RM1,000 kepada tiga lagi suspek untuk memukul mangsa,” katanya.


Zainudin berkata, insiden pukul berlaku sekitar jam 4 petang di kawasan industri Bukit Pelandok.


“Mangsa berusia 32 tahun cedera di kepala dan pergelangan tangan selepas diserang dengan menggunakan parang kini sedang di rawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.


“Polis bertindak mengesan suspek selepas menerima aduan kejadian,” katanya.


Zainudin berkata, pada jam 6petang hari yang sama polis berjaya mengesan kereta yang dinaiki suspek.


“Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dan dua kenderaan peronda polis telah mengejar kereta suspek, Toyota Camry berwarna silver.


“Polis berjaya menahan tiga suspek berhampiran Plaza Tol Port Dickson Utara Seremban.


“Susulan tangkapan awal itu, polis kemudian menahan seorang lagi suspek pada 10.15 malam di sebuah kedai tidak bernombor di Bukit Pelandok, dipercayai ‘mastermind’ dalam insiden  gaduh ini,” katanya.


Zainudin menambah, tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


“Berdasarkan pengakuan awal dengan polis, keempat-empat suspek mengakui perbuatan jenayah mereka,” katanya.


Zainudin juga menasihatkan mana-mana individu yang ingin berniaga perlu mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.




 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]