Tak mampu tampung badan

in Edisi by


LEGEH – Seorang warga emas di sini hanya bergantung kepada ihsan anak-anak untuk meneruskan kehidupan sehariannya setelah tidak lagi berupaya untuk melakukan sebarang pekerjaan.


Muhamad Nor Awang, 72, kini tidak mampu menoreh berikutan masalah saraf yang dihadapi hampir tujuh tahun lalu.


“Harap pada anak-anak sajalah, nak bekerja tak mampu. Nak berjalan pun susah, kaki pakcik jadi lembik.


“Susah nak tampung badan sendiri. Kehidupan seharian lebih banyak dihabiskan di rumah,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, masalah saraf dihadapi mungkin berpunca daripada penyakit batu karang yang dihidapi sejak bertahun lalu.


“Pakcik pernah buat rawatan dan beberapa proses untuk rawat penyakit ini, tapi hingga hari ini tak jumpa penawar sesuai. Sebaliknya berdepan masalah saraf dan kekejangan,” katanya.


Muhamad Nor berkata, dua tahun pertama berdepan masalah itu dia masih mampu bekerja, bagaimanapun sejak 2014, masalah kekejangan dihadapi semakin teruk menyebabkannya sukar untuk berjalan.


“Masalah saraf dan kejang ini pakcik hadapi sepanjang masa, kalau kena air sejuk pun kejang. Agak sulit rutin harian pakcik, nak berjalan pun tidak berdaya, apatah lagi untuk bekerja seperti dulu,” katanya.


Ditanya sama ada dia pernah merujuk mana-mana pihak untuk mendapatkan pembelaan terhadap nasibnya, Muhamad Nor mengakui dia tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan walaupun difahamkan berhak berbuat demikian.


Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jeli ketika dihubungi mengesahkan tidak menerima sebarang maklumat mengenai Muhamad Nor dan meminta waris warga emas berkenaan mengemukakan permohonan untuk tindakan selanjutnya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]