Waktu operasi Johor Wifi dihadkan

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor kini mengambil langkah menghadkan waktu operasi Johor Wifi mulai 6 pagi hingga 12 malam sahaja di kawasan perkhidmatannya selepas menerima dua kes masalah sosial, remaja melepak sehingga pagi.


Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri mengambil tindakan segera sebaik menerima laporan remaja melepak sehingga pagi di kawasan terdapat perkhidmatan Johor Wifi di PPR Kempas Permai dan Dataran Bandaraya Johor Bahru.


Selain itu, turut timbul isu vandalisme daripada perkhidmatan Johor Wifi, namun, jumlahnya amat sedikit iaitu dua kes vandalisme dilaporkan di PPR Taman Cendana serta PPR Kempas Permai di Johor Bahru dan pembaikan serta-merta oleh pembekal perkhidmatan bagi kerosakan vandalisme telah dibuat.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ee Chin Li (DAP-Tangkak) mengenai sambutan terhadap Johor Wifi, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.


Hasni berkata perkhidmatan Johor Wifi yang dilancar pada 30 Ogos 2015 di 134 lokasi di seluruh Johor ketika ini mendapat sambutan amat luar biasa daripada rakyat negeri ini.


Hasni berkata Johor Wifi menerima purata 5,660 pengguna baharu  setiap bulan sekali gus menjadikan jumlah pengguna berdaftar bagi perkhidmatan percuma itu 293,717 orang sejak 2015 hingga 12 Nov lepas.


“Jumlah peruntukan bagi projek Johor Wifi adalah RM12.477 juta untuk tempoh tiga tahun bermula 2016 sehingga 2018 meliputi 134 hotspot di kawasan tumpuan orang awam merangkumi 10 daerah, 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 13 Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.


Hasni berkata perbelanjaan yang dikeluarkan pihak kerajaan sehingga September tahun ini berjumlah RM7.27 juta. Daripada jumlah tersebut, pihak kerajaan negeri membelanjakan RM5.93 juta manakala baki RM1.34 juta dibayar oleh pihak PBT kepada pembekal perkhidmatan yang dilantik.


“Berikutan sambutan memberangsangkan, kerajaan negeri mengambil langkah penambahbaikan  untuk memperluaskan projek Johor Wifi ini ke kawasan luar bandar. Selain itu, beberapa lokasi hotspot Johor Wifi sedia ada akan dinaik taraf kelajuan akses internetnya daripada 4Mbps kepada 8Mbps bagi menampung keperluan penggunaan yang tinggi.


“Projek Johor WiFi Fasa 2 pula akan melibatkan penambahan 49 hotspot baru di kawasan luar bandar manakala 41 hotspot sedia ada yang terdiri daripada 25 kawasan PPR dan 16 kawasan PBT akan dinaik taraf kapasiti kelajuan internet. Kerajaan negeri sedang dalam proses melaksanakan projek naik taraf ini dan dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]