PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

December 2017 - page 3

Pelayar berang kedai jual makanan lepas tarikh luput

in Semasa by


SUBANG JAYA – Tindakan seorang pelayar mendedahkan kegiatan sebuah kedai menjual produk yang melepasi tarikh luput membuahkan hasilnya.


Dalam satu perkongian bertarikh 1 Disember lepas, pelayar berkenaan memuatnaik beberapa foto produk kedai yang terletak di Subang Jaya berkenaan.


Selain foto yang menunjukkan produk makanan melepasi tarikh luput, pelayar tersebut juga memuat naik rakaman yang merakam muka peniaga terbabit.


“Berani dia kata apa-apa saman pun dia boleh bayar,” kata pelayar terbabit merujuk kepada peniaga didakwa warga Bangladesh berkenaan.


Orang ramai yang membaca perkongsian berkenaan jelas berang dengan tindakan tidak bertanggung jawab perniaga terbabit.


Dalam satu perkongsian baharu hari ini, pelayar sama mengatakan kedai tersebut ‘didakwa dilawat’ oleh penguatkuasa imigresen dan penguatkuasa kesihatan.

Foto Sumber Facebook


Selain itu, beliau juga memuatnaik foto yang menunjukkan kedai berkenaan diberi notis perintah tutup selama dua minggu berkuatkuasa hari ini.


Sikap pelayar berkenaan yang prihatin jelas mendapat perhatian warga laman sosial.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Cassio mahu rakan tanam mentaliti juara

in Sukan by


“JIKA anda fikir tidak mahu menjadi juara, lebih baik berhenti bermain bola sepak” Itu komen pemain import baharu The Red Warriors (TRW), Cassio Francisco de Jesus.


Pertahanan import kelahiran Brazil itu berkata, semua pemain termasuk dia sendiri harus menanamkan mentaliti juara apabila pasukannya bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.


“Saya mahu Kelantan menjadi juara, jadi kita kena fikir bagaimana hendak jadi juara dan rakan-rakan juga perlu ada matlamat yang sama apabila menyarung jersi pasukan ini.


“Kalau kita tidak berfikiran seperti ini, usah bermain bola lagi. Bola sepak adalah kehidupan saya, sudah pasti saya mahukan kejayaan,” katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.


Bekas pemain import Semen Padang FC dalam Liga Pertama Indonesia musim 2016 dan 2017 itu semalam, sah menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).


Pertahanan tengah berusia 28 tahun itu menjadi pemain import baharu kedua selepas Do Dong-Hyun (Korea Selatan) selain muka lama, Morgaro Gomis (Senegal) dikekalkan skuad pantai timur itu, semusim lagi.


Jelas Cassio yang fasih berbahasa Indonesia, dia memilih menyertai Kelantan setelah melihat potensi besar dimiliki pasukan itu walaupun terpaksa bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran, akhir musim lalu.


Menurutnya, kualiti Liga-M berbanding Liga Indonesia turut mendorong dia memilih mencari angin baharu selepas dua tahun beraksi bersama kelab yang terkenal jolokan Kabau Sirah itu.


“Malaysia (Liga-M) bagus juga dan dengan corak permainan pantas Kelantan, saya suka pasukan seperti ini, kalau kita boleh bermain dengan cara sebegini, pasti peminat akan terus beri sokongan,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

XPDC akan ambil tindakan undang-undang

in Hiburan by
XPDC

XPDC akan ambil tindakan undang-undang


XPDC yang dianggotai Lola, Eddie, Izo dan Ali bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atas cubaan mengsabotaj mereka.


Menurut Lola yang juga pemain drum XPDC, cubaan sabotaj itu berlaku sejak kumpulan itu berpecah menjadi dua versi pada 2015.


Kumpulan XPDC versi pertama dianggotai Mael, Zuar, Amy dan Ariff.


“Unsur sabotaj ini memang berlaku sejak XPDC berpecah dua versi.


“Individu itu didapati menghasut dan memburukkan kami melalui laman sosial.


“Awalnya, kita tak kisah dan anggap individu itu hanya mahu mencari perhatian,” katanya pada Sinar Harian.


Bagaimanapun katanya, keadaan itu semakin berpanjangan malah individu berkenaan turut memburukkan Konsert Public Distortion 2017, yang bakal berlangsung hujung minggu ini.


“Kita dah kenal pasti individu yang membuat kerja sedemikian. Dia tak perlulah nak buat perkara begini.


“Tidak ada gunanya nak dengki kerana kita dalam satu industri dan rezeki masing-masing, ALLAH yang tentukan,” katanya.


Susulan itu, kata Lola, XPDC sudah membuat lebih daripada lima laporan polis, sejak awal November lalu.


“Buat masa ini, kita masih mengumpul maklumat bagi mengambil tindakan selanjutnya sekiranya individu berkenaan terus membuat provokasi,” katanya.


Dalam pada itu, XPDC bakal menjayakan Konsert Public Distortion 2017 yang akan berlangsung di Oasis Square, Damansara, jam 8.45 malam pada 9 Disember ini.


Konsert itu turut menampilkan Prime Domestic dan Amy Search selaku penyanyi jemputan.


Mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket berharga RM68 dengan melayari laman sesawang www.ilassotickets.com.


“Alhamdulillah, setakat ini, sambutan yang diterima sangat, memberangsangkan.


“Lagipun, orang ramai pun dah boleh berfikir dengan baik,” katanya.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

DOJ tidak sasar individu tertentu: Peguam AS

in Nasional by


SHAH ALAM – Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat tidak menyasarkan individu tertentu berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata seorang peguam terkemuka Amerika Syarikat.


Tom Goldstein, antara peguam mahkamah Agung paling berpengalaman di negara itu berkata, DOJ hanya memfailkan saman sivil pelucuthakan dan mendapatkan kembali aset yang dikaitkan dengan 1MDB.


“… (DOJ) hanya memulakan tindakan pelucuthakan sivil bagi harta berkenaan dan bukan tindakan jenayah terhadap sesiapa.


“Oleh itu, saya berpendapat adalah silap untuk mengatakan bahawa Amerika Syarikat telah mengambil tindakan terhadap individu (yang ada kaitan dengan1MDB),” katanya pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ceramah tentang Litigasi Jenayah di Amerika Syarikat di Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.


Terdahulu, pada satu lagi sesi soal jawab, peguam itu berkata,  pelucuthakan akan terus wujud di Amerika Syarikat dan oleh itu tidak terdapat prospek secara realistik perkara itu akan diisytihar bercanggah dengan perlembagaan. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

TPM lancar kempen Safe perangi dera kanak-kanak

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan kempen ‘Stop Abuse for Everyone for a Safer and Fearless Environment’ (SAFE) bertujuan meningkatkan kesedaran bagi memerangi penderaan terutama berbentuk seksual terhadap kanak-kanak dan wanita.


Dianjurkan oleh Biro Perundangan Profesional Puteri Umno (Puteri Legal) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, kempen diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno 2017 yang akan bermula esok sehingga 9 Dis ini.


Pada majlis itu Ahmad Zahid, Naib Presiden Umno yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden parti,  turut melancarkan lori rasmi skuad Safe untuk digunakan dalam program jelajah ke seluruh negara.


Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, program jelajah berkenaan telah bermula bulan lepas di Selangor.


“Kita akan menggunakan kenderaan (lori) khas ini untuk bergerak ke setiap negeri yang lain dan mengadakan pelbagai program melibatkan orang awam dan pelajar untuk meningkatkan kesedaran dalam usaha menangani penderaan kanak-kanak selain keganasan terhadap wanita,” katanya. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

BNM keluarkan syiling ulang tahun Arkib Negara

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menyeluarkan duit syiling peringatan sempena ulang tahun ke-60 Arkib Negara Malaysia tahun ini.


Dalam kenyataan, BNM berkata, duit syiling itu, yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz hari ini, ditampilkan dalam dua spesifikasi, iaitu perak berwarna (pruf) dan emas Nordic.


“Duit syiling berwarna (pruf) ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram.


“Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM230 sekeping. Jumlah tempaan adalah sebanyak 500 keping,” menurut BNM.


BNM berkata, nilai muka duit syiling emas Nordic pula ialah RM1 manakala harga jualannya RM10 dan jumlah tempaan sebanyak 10,000 keping.


Semua harga adalah tertakluk kepada enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan.


Contoh duit syiling itu akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Selasa 12 Disember 2017 di Muzium dan Galeri Seni BNM serta di pejabat BNM di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.


BNM berkata, bagi  memberikan peluang yang sama rata kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan – satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna dan tiga duit syiling emas Nordic bagi setiap pembeli.


BNM berkata, selain itu untuk memudahkan pembelian duit syiling peringatan ini, orang ramai boleh membuat tempahan melalui kemudahan tempahan dalam talian yang baharu.


Maklumat lanjut tentang kemudahan tempahan dalam talian, tempahan dan tempoh pengambilan akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan, menurut BNM. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Revolusi Industri 4.0: Lebih ramai wanita bekerja

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Revolusi Industri  4.0 berkemungkinan besar menyaksikan lebih ramai wanita diambil bekerja memandangkan persaingan dalam pasaran tenaga kerja pada masa depan lebih kepada keperluan terhadap minda berbanding kekuatan fizikal.


Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Josephine Teo Li Min berkata, ini berdasarkan situasi semasa yang menunjukkan kebanyakan kerja-kerja manual yang memerlukan tenaga fizikal perlahan-lahan beralih kepada automasi, seiring perkembangan teknologi.


“Jika kita bersaing dari segi minda dan bukan tenaga fizikal, wanita tidak mempunyai kekurangan,” katanya semasa sidang pleno Persidangan Antarabangsa Wanita Dalam Politik Kuala Lumpur (WIPKL) 2017, di sini hari ini.  


WIPKL itu dianjurkan bersempena Perhimpunan Agung Umno yang bermula esok sehingga Sabtu ini.


Teo berkata sekalipun kemajuan kecerdasan buatan dan robotik akan mempercepatkan proses automasi di tempat kerja, beliau percaya situasi itu tidak begitu menjejaskan peluang pekerjaan.


Beliau juga berkata kebimbangan tentang kehilangan pekerjaan secara meluas  pada masa depan mungkin terlalu dibesar-besarkan memandangkan kajian Pusat Penyelidikan Ekonomi Eropah mendapati bilangan pekerjaan yang berisiko susulan automasi adalah rendah sekitar sembilan peratus sahaja.


“Dari segi sejarah, bila kita lihat semula kesan teknologi kepada dunia pekerjaan, penggantian kerja yang dipacu teknologi turut diiringi dengan penghasilan pekerjaan dalam sektor baharu yang juga penting.


“Isunya ialah sama ada anda dapat mencari bakat berpotensi dan melengkapi mereka dengan kemahiran yang tepat untuk memanfaatkan peluang pekerjaan yang dihasilkan itu,” katanya. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Kerajaan pusat ambil serius fenomena 'banjir termenung

in Nasional by


TUMPAT – Fenomena banjir termenung atau banjir lambat surut yang memasuki hari ke 6 melanda perkampungan pinggir sungai Golok mendapat perhatian serius kerajaan pusat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerajaan akan memberi perhatian serius bagi menangani masalah yang sedang berlaku ini.


“Banjir termenung ini menyebabkan beberapa kampung terputus hubungan.


“Dan daripada maklumat berlakunya banjir termenung ini disebabkan masalah muara,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Kubang Sawa, Tumpat, hari ini.


Shahidan berkata, pelbagai pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta supaya segera mendalamkan muara sungai.


Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abd Rashid Harun; Pengerusi Pengurusan Bencana Jajahan Tumpat, Rosnazli Amin dan Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.


Dalam masa yang sama, pihaknya bersedia  untuk berdepan banjir gelombang kedua yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

PAU 2017: Lebih 5,000 perwakilan dijangka hadir

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Seramai 5,739 perwakilan mengesahkan kehadiran pada Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung  lima hari bermula hari ini.


Daripada jumlah itu, 2,761 perwakilan hadir pada perhimpunan tersebut manakala 994 orang untuk Wanita dan 992 Pemuda.


Bagi Pergerakan Puteri, 992 perwakilan hadir.


Selain itu, seramai 63 jemputan daripada 17 parti politik dari 14 negara mengesahkan kehadiran.


Kelab Umno Luar Negara telah mengesahkan 51 perwakilan yang terdiri daripada 82 kelab dan tujuh Badan Perhubungan Negara.


Seramai 350 mahasiswa daripada 20 universiti awam dan 50 universiti swasta akan terlibat atas nama Mahasiswa Nasional.


Mahasiswa Turun Parlimen (Mantapkan) yang berjumlah 60 orang hadir sebagai sukarelawan sepanjang perhimpunan itu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Selangor belum pasti boleh beraksi di Stadium Shah Alam

in Sukan by


KERAJAAN Negeri Selangor belum memutuskan status penggunaan Stadium Shah Alam bagi tahun depan, namun ia masih kekal sebagai venue rasmi PKNS FC seperti Liga Malaysia (Liga-M) musim lalu.


Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, berdasarkan keputusan dibuat Kerajaan Negeri sebelumnya, maka ia kekal sebagai gelanggang PKNS FC selaku tuan rumah.


“Pada musim lalu, Stadium Shah Alam digunakan PKNS FC dan Kerajaan Negeri belum mengubah sebarang keputusan.


“Liga-M akan bermula pada Februari tahun depan, masih ada masa untuk perbincangan,” katanya dipetik dari SelangorKini sebagai reaksi kepada permintaan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) supaya membenarkan Selangor menggunakan Stadium Shah Alam untuk saingan Liga Super 2018.


Amirudin berkata, beliau tidak boleh membuat keputusan berkenaan perkara itu dan perlu dibawa ke pengetahuan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pengurusan Kerajaan Negeri untuk perbincangan lanjut.


Bagaimanapun, beliau membayangkan situasi sukar kerana FAS sebelum ini tidak bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.


“Prinsip kita, kita akan memberikan kepada mereka yang bekerjasama baik dengan kita,” katanya.


Kelmarin, Sinar Harian melaporkan FAS masih mengharapkan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi skuad Selangor untuk saingan Liga Malaysia musim depan  dan berharap keputusan itu akan diketahui dua minggu lagi.


Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, persatuan itu begitu mengharapkan kerajaan negeri khususnya Mohamed Azmin memanggil mereka untuk berbincang tentang penggunaan Stadium Shah Alam.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

1 2 3 4 5 49
Kembali UTAMA