Dua kali terbakar sejak 2016

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Kes lama pun tak selesai, tengok-tengok terbakar lagi. Demikian luahan Rosniza Shuib, 41, dari Zon Mawar, Amanjaya yang menjadi mangsa kebakaran sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun.


Rosniza berkata, kejadian awal pagi semalam menyebabkan keseluruhan rumahnya hangus tanpa sempat menyelamatkan harta benda.


“Saya, suami dan anak keluar beli barang sambil pusing-pusing. Tiba-tiba jiran telefon, siap bagi gambar api kata rumah kami terbakar.


“Kami kemudian bergegas pulang ke rumah dan nampak beberapa jentera bomba dah tiba serta berusaha memadamkan kebakaran. Sedih memang sedih, tapi nak kata apa lagi? Menangis banyak mana pun, benda dah jadi,” katanya.


Bagaimanapun katanya, dia tidak pasti sama ada dokumen penting, kelengkapan sekolah anak-anaknya dan barangan lain masih dalam keadaan elok ataupun tidak memandangkan tiada sesiapa dibenarkan masuk sehingga siasatan forensik selesai.


Mengimbau kebakaran pada 9 September 2016, Rosniza berkata, kejadian itu masih segar dalam ingatannya apabila seluruh bahagian bilik belakang di rumah sama hangus.


“Bilik tu dah dua kali terbakar, habis semua barang dalam tu. Kami pun tak dan (tak sempat) kemas sebab tunggu siasatan selesai.


“Hari ini terbakar lagi. Lebih teruk sebab satu rumah terbakar,” katanya.


Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati mangsa masih menunggu kehadiran anggota forensik untuk melakukan siasatan dan sesiapa tidak dibenarkan masuk.


Buat sementara waktu, mangsa sekeluarga menumpang di rumah jiran berdekatan.


Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.06 pagi dan bergegas ke lokasi tidak lama kemudian.


Setibanya ke lokasi, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan tiga rumah teres kelas A iaitu rumah pertama terbakar lima peratus, rumah kedua terbakar 75 peratus dan rumah ketiga terbakar 15 peratus.


Bagaimanapun, punca dan kerugian masih dalam siasatan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]