
KEMAMAN – Memberi amaran supaya mangsa banjir berpindah awal ke pusat pemindahan yang menjadi prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi banjir ternyata bermanafaat dan mengurangkan keperluan operasi mencari dan menyelamat.
Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata modus operandi sebelum ini telah dikaji dan beberapa perubahan telah dibuar agar bersesuian dengan keadaan semasa.
“Kalau dulu kita terlalu sibuk nak pergi selamatkan orang dan hantar makanan kepada mangsa hingga sumber logistik seperti bot tidak cukup. Namun sejak 2014 kita tukar modus operandi dengan memberi amaran keluar awal.
Kini hampir 80 peratus sumber logistik kita tak perlu lagi menghantar makanan sebab setiap pusat pemindahan telah menyediakan makanan untuk lima hari jadi malah mana-mana pusat yang terkepung pun mempunyai bekalan mencukupi,” katanya semasa ditemui media selepas membuat lawatan dan menghantar makanan tambahan ke semua pusat pemindahan di sini.
Katanya, apabila sumber logistik dijaga dan diletakkan di pusat utama ia memudahkan penghantaran pasukan tambahan seperti pegawai kesihatan ke pusat-pusat pemindahan apabila diperlukan.
Wan Abdul Hakim berkata kerjasama antara anggota keselamatan, Jabatan Daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut memudahkan semua pihak melaksanakan modul yang telah dirancang, yang dikenali sebagi modul Kemaman.
“Tanpa mereka tak mungkin modul Kemaman boleh dilaksanakan… kerjasama pasukan sangat penting malah jika ada ‘model terbaik ’ pun tetapi tidak ada orang dan semangat berpasukan…ia tidak akan berjaya laksanakan,” katanya.
Mengulas mengenai lawatan beliau ke pusat pemindahan yang bermula sejak awal pagi, beliau berkata ia menjadi aktiviti hariannya meskipun tanpa majlis rasmi apabila tiba musim tengkujuh, namun lawatan hari ini dilakukan bagi menghantar bekalan bahan mentah segar.
Dalam lawatan yang sama, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Wan Mohd Hasnan Abdullah turut menyampaikan bekalan makanan di beberapa pusat pemindahan sementara.
Selain itu Wan Abdul Hakim berkata walaupun amaran hujan telah ditarik balik oleh Jabatan Meteorologi Malaysia petang tadi, mangsa masih diminta tinggal di pusat pemindahan kerana dikhuatiri air naik kerana kemungkinan air pasang besar berlaku malam ini. – Bernama
Source: SH Edisi Terengganu
[featured-video-plus]