Lelaki bawa pemetik api bom tangan ditahan di Miri

in Edisi Sabah Sarawak by


MIRI – Polis  menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dari Limbang kerana memiliki pemetik api menyerupai bom tangan pukul 8.20 malam di Lapangan Terbang Miri pada Selasa lepas.


Ketua Polis Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata suspek yang bekerja di Johor Bahru ditahan di balai berlepas Lapangan Terbang Miri ketika pemeriksaan bagasi tangan dilakukan ke atas beg pinggang suspek.


“Polis Bantuan yang melakukan pemeriksaan mengarahkan suspek membuka beg itu dan mendapati satu objek menyerupai bom tangan. Apabila  ditanya, suspek menjawab ia adalah pemetik api,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Lim berkata ketika ditahan,  suspek yang tidak mempunyai  rekod jenayah lampau dan hendak menaiki penerbangan  ke Johor Bahru dari Miri, mendakwa pemetik api tersebut dibeli di Johor Bahru.


Terdahulu Lim menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Miri yang baharu iaitu Superintendan Mohamad Hafipi Mohd Salim, sebelum ini Ketua Polis Meradong,  menggantikan Asisten Komisioner Stanley Johnathan Ringit yang dinaikkan pangkat menjadi Ketua Polis Daerah Sibu yang baharu. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]