MPKB-BRI siasat bantahan isu pasar malam

in Edisi by


KOTA BHARU- Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menyiasat bantahan yang dilakukan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan bersama badan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa penduduk dan peniaga di Jalan Kebun Sultan, dua hari lalu.


Setiausahanya, Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, siasatan dakwaan mengenai perancangan pasar malam harian di kawasan tersebut masih diteliti.


“Kami akan mengadakan mesyuarat untuk mengkaji masalah yang timbul dengan pihak yang berkaitan untuk mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikannya.


“Masalah ini perlu dibincangkan dalam mesyuarat, malah kajian mengenainya juga perlu dibuat berikutan ia adalah isu baru,  namun berhubung kait dengan perniagaan yang sudah berpuluh tahun lamanya beroperasi di Jalan Kebun Sultan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini, hari ini.


Bantahan tersebut dijalankan dua hari lalu apabila kira-kira 50 peniaga kedai makan termasuk penduduk di Jalan Kebun Sultan menggesa MPKB-BRI memberi penjelasan mengenai dakwaan perancangan pasar malam harian yang akan beroperasi itu di kawasan perniagaan mereka.


Presiden Parti Sosialis Malaysia (Kelantan) Khairul Nizam Abd Ghani berkata, bagi mendapatkan sokongan mengenai hal itu, beberapa tandatangan peniaga serta penduduk sudah diambil untuk disertakan bersama surat aduan.


“Saya berharap agar MPKB-BRI dapat mengadakan pertemuan dengan peniaga dan penduduk dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah ini.


“Bantahan yang dilakukan ini adalah kali kedua selepas ianya diadakan secara tidak rasmi pada tahun lalu untuk mempertahankan hak mereka sebagai peniaga di kawasan ini,” katanya.


Beliau berkata, bantahan itu dilakukan kerana sekiranya perancangan pasar malam harian itu beroperasi seperti yang ditetapkan, ianya akan menyebabkan peniaga lama akan hilang punca pendapatan, sedangkan mereka membayar cukai dan lesen untuk menjalankan perniagaan sejak sekian lama.


“Kotak tempat letak kereta akan digunakan sehingga menjejaskan perniagaan asal, malah keadaan ini juga boleh menyebabkan pelanggan sukar meletakkan kenderaan mereka apabila singgah di premis perniagaan mereka.


“Cat putih yang ditandakan di tempat letak kereta di hadapan premis perniagaan didakwa akan dijadikan tapak untuk peniaga Cina menjalankan perniagaan pasar malam harian yang sepatutnya bermula  operasi pada 1 Januari lalu,” dakwanya.


Beliau berkata, jika pasar malam itu beroperasi setiap hari, ia pasti akan mendatangkan pelbagai masalah terutama menghalang laluan utama penduduk untuk keluar masuk dari kediaman mereka.


Khairul Nizam berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan segera permasalahan yang timbul bagi mengelak berlaku isu perkauman, sedangkan perniagaan di situ melibatkan orang Melayu dan Cina yang sama-sama mencari rezeki.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]