Sesalur elektrik karat punca runtuhan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Siasatan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati punca utama runtuhan sebahagian laluan berbumbung pejalan kaki di Jalan Kampung Daik, di sini, akibat sesalur elektrik berkarat.


Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata, lubang yang ditebuk pada tiang laluan itu untuk dijadikan sesalur elektrik telah berkarat dan menjadi rapuh serta tidak mampu menampung kekuatan angin pada malam kejadian.


“Runtuhan yang berlaku secara umumnya disebabkan angin kencang dan struktur binaan tidak dapat menampung kekuatan angin akibat pelaksanaan kerja-kerja elektrik yang tidak mengambil kira impak terhadap struktur asal.


“Biasanya, laluan pejalan kaki akan disertakan dengan kemudahan lampu di sepanjang laluan bagi kemudahan awam, namun, lubang yang ditebuk bagi sesalur elektrik di laluan itu tidak ditutup balik menyebabkan berlakunya kejadian runtuhan,” katanya pada sidang media selepas meninjau laluan pejalan kaki itu, di sini, pagi tadi.


Samiun berkata, orang ramai kini boleh menggunakan laluan pejalan kaki itu seperti biasa kerana kerja-kerja membaiki kerosakan melibatkan 60 meter laluan telah selesai sepenuhnya.


“Kita telah selesaikan masalah ini dalam tempoh 15 hari termasuk menjalankan siasatan punca kejadian. Jadi, pembaikan telah dilakukan dengan menambah tiang sokongan dan ketebalan tiang kepada lebih 5 milimeter (mm).


“Kos keseluruhan sebanyak RM6,600 bagi membaiki kerosakan ditanggung Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) dan disiapkan dalam tempoh lima hari,” katanya.


Ditanya sama ada terdapat unsur kecuaian dalam pelaksanaan projek itu, Samiun berkata, ada kemungkinan terdapat unsur itu dan pihak terlibat mungkin akan dikenakan tindakan.


“Mungkin terdapat faktor kecuaian, tetapi kita masih dalam siasatan di peringkat dalaman dan tindakan akan diambil terhadap pihak terlibat sekiranya bersalah,” katanya.


Bagi mengelak perkara sama berulang, Samiun berkata, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau semua kemudahan awam yang disediakan MBKT di daerah ini.


“Kita telah menubuhkan pasukan khas yang dipengerusikan Setiausaha MBKT, Wan Zaki Wan Abdullah.


“Jawatankuasa ini akan bertindak memantau setiap kemudahan awam yang disediakan MBKT daripada masa ke semasa bagi memastikan ia dalam keadaan selamat sekali gus mengelak kejadian sama berulang,” katanya.


Projek laluan pejalan kaki sepanjang 280 meter itu dibina dengan kos sebanyak RM376,437.50 bermula 15 Jun 2015 dan siap pada 6 Disember 2015.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]