Dia sering nampak ‘benda halus’

in Edisi Terengganu by


KUALA BERANG – “Dia sering beritahu selalu ternampak ‘benda- benda halus’ ,” kata Ramlee Sulong, 45, bapa kepada pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah sekolah menengah daerah Hulu Terengganu yang terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah berkenaan, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi semalam, pelajar berkenaan dipercayai terjatuh dari bangunan selepas dikatakan diserang histeria.


Ramlee berkata, dia tidak menolak kemungkinan kejadian terjadi pada anaknya itu mempunyai kaitan dengan penyakit misteri dihidapi sejak dua tahun lalu.


Menurutnya, dia mengetahui kejadian terjadi pada anaknya itu kira-kira jam 8 pagi setelah mendapat panggilan telefon dan terus bergegas ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) bagi melihat keadaan anak sulung daripada tiga beradik hasil perkahwinan dengan arwah isteri pertamanya itu.


“Syukurlah, anak saya tidak alami kecederaan serius, dia bagi tahu tidak ingat apa-apa tentang kejadian dan hanya tahu sudah berada dalam ambulans.


“Malah, dia juga tidak sedar memakai pakaian seragam untuk ke sekolah, semua berlaku tanpa disedarinya,” katanya.


Ramlee berkata, anaknya mengalami penyakit misteri ketika berumur 15 tahun setelah secara tiba-tiba pada waktu Maghrib dia meluru keluar dari rumah untuk ke sebarang jalan lalu melanggar sebuah kereta.


“Dia tak cedera tetapi kereta itu kemek. Sejak itu dia mendakwa sering terlihat benda-benda yang tidak dilihat dengan mata kasar kita ini, kesihatan juga terjejas dan banyak termenung. Namun, pihak hospital maklumkan anak saya ini tiada masalah kesihatan.


“Berikutan penyakit misteri ini, dia tak dapat teruskan pembelajaran di tingkatan empat di sebuah sekolah di Kuala Terengganu. Hari pertama mulakan persekolahan dia dipercayai alami gangguan dan pengsan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HHT, semalam.


[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan jatuh bangunan selepas diserang histeria]


Berusaha berubat anak merata tempat


Tambah Ramlee yang tinggal di Kampung Nibong, Kuala Terengganu, dia telah berusaha di merata-rata tempat bagi jalani rawatan dengan beberapa ustaz sepanjang tahun lalu sehinggalah tahap kesihatan anaknya itu menunjukkan perkembangan positif sekitar akhir tahun lalu.


Katanya lagi, dia menghantar anaknya itu dengan ditemani anaknya yang berusia 16 tahun ke sebuah madrasah di daerah ini untuk  pulihkan masalah kemurungan serta atasi benda-benda halus dilihatnya sebagaimana sering didakwa serta diceritakan padanya sebelum ini.


“Saya ambil keputusan agar dia kembali ke sekolah pada tahun ini setelah melihat perkembangan positif ditunjukkannya. Dia mulakan pembelajaran tingkatan lima di sekolah baru di daerah ini yang berdekatan dengan madrasah tempatnya jalani rawatan.


“Tak sangka kejadian sebegini pula terjadi hari ini (semalam). Saya tak tolak kemungkinan ia ada kaitan dengan penyakit misterinya sehinggakan dia melakukan sesuatu tindakan tanpa disedarinya.


“Adiknya bagi tahu terdahulu kakaknya (mangsa) ke tandas dan tidak berapa lama kemudian terdengar suara orang menjerit. Sama ada dia terjatuh daripada bangunan atau terjatuh ketika berjalan, saya sendiri tidak tahu,” ujarnya yang bekerja sebagai nelayan.


Ramlee berkata, setiap hari dia berhubung  melalui aplikasi WhatsApp bagi bertanya khabar anaknya yang tinggal di madrasah tidak berapa jauh daripada sekolah dan dia dimaklumkan  anaknya itu sudah dua hari tidak ke sekolah.


“Jumaat lalu saya berjumpanya di madrasah, dia bagitahu sihat dan tidak ada sebarang masalah.


“Ibunya telah meninggal dunia tahun 2005 lalu, walaupun saya telah kahwin lain tetapi dia dan dua lagi adiknya berumur 16 dan 14 masih tinggal bersama saya di Kuala Terengganu,” katanya.


Siasatan masih dijalankan


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu,  Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya masih dalam siasatan lanjut bagaimana kejadian berlaku andainya benar pelajar tersebut dipercayai terjatuh daripada tingkat satu bangunan sekolah itu yang berketinggian kira-kira 4.3 meter.


“Bapa mangsa sebelum ini pernah mengajar di madrasah sama tempat mangsa jalani rawatan.


“Pihak polis masih jalankan siasatan lanjut dan laporan kecederaan daripada pihak HHT memaklumkan mangsa cuma cedera ringan di bahagian dahi,” ujarnya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]