Fius meter elektrik pula jadi sasaran pencuri

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Disangka bekalan elektrik telah di potong, tetapi rupa-rupanya fius utama pada kotak meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dilarikan pencuri.


Itulah yang dialami seorang pengusaha studio kecergasan di Taman Saujana, Seksyen 2, Bukit Katil di sini, Haironesa Idris, 50, apabila mendapati suis lampu premisnya tidak menyala sebaik dihidupkan.


Menurut Haironesa, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.30 malam semalam sehingga menyebabkan lebih 20 peserta pusat berkenaan yang ingin melakukan aktiviti zumba terpaksa pulang hampa.


“Saya ingatkan bekalan elektrik telah dipotong atau berlaku lintar pintas tetapi selepas membuat semakan di pejabat TNB di Jalan Banda Kaba pagi tadi, mendapati tiada sebarang bil yang tertunggak malah tiada sebarang rekod menunjukkan bekalan elektrik premis saya telah dipotong.


“Selepas kakitangan TNB membuat pemeriksaan sebenarnya mendapati fius pada meter berkenaan telah dirembat oleh pencuri,” katanya ketika ditemui di premisnya di sini hari ini.


Haironesa berkata, kebiasaannya dia sering mendengar pencuri rembat meter bekalan air tetapi kini fius meter elektrik pula menjadi sasaran mereka.


“Meskipun pihak TNB sudah memasang semula fius pada meter dan bekalan elektrik di premis saya pulih kembali tetapi kebimbangan tetap ada, sebab risau pencuri akan melakukannya sekali lagi.


“Tetapi pihak TNB ada mencadangkan agar saya memasang kotak berkunci pada meter berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]