Keputusan hukuman bunuh ibu bapa angkat esok

in Semasa by


KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Malaya, di sini, tadi, menetapkan esok untuk hukuman terhadap seorang penoreh getah yang meletupkan bom hingga menyebabkan kematian ibu bapa angkatnya, tiga tahun lalu.


Tertuduh, Cha Woon Fui, 29, mengaku salah pada dua tuduhan pilihan masing-masing menyebabkan kematian Cha Mok Liong,72, dan isterinya, Fong Ah Fong, 72, pada jam 9 pagi di Jalan KM10 Gua Musang-Kampung Pulai, Gua Musang.


Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga didenda.


Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya negeri Shaharaliza Ab Razak, manakala tertuduh diwakili peguam yang dilantik mahkamah, Cheah Poh Loon.


Terdahulu, Poh Loon memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang ringan sebagai pengajaran kepada tertuduh.


“Saya mohon mahkamah memberi ihsan kepada tertuduh dengan memaafkannya dan memberi peluang supaya tertuduh dapat membina hidup baru selepas kematian ibu bapa angkatnya,” katanya.


Shaharaliza pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan keseriusan jenayah yang dilakukan.


“Tindakan tertuduh memasang bom kali kedua hingga menyebabkan ibu bapa sendiri meninggal dunia satu perbuatan yang sangat tragis.


“Tertuduh bertindak atas kepentingan dan keseronokkan diri sendiri kerana tidak dapat memenuhi keinginannya. Apa-apa sahaja alasannya, kepentingan awam perlu diutamakan,” katanya.


Tiga tahun lalu, pasangan suami isteri itu maut dalam keadaan menyayat hati apabila anggota badan mereka berkecai dan bertaburan atas jalan dan semak dalam lingkungan kira-kira 40 meter.


Punca tertuduh memasang bahan letupan itu dipercayai kerana harta.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]