PKT baiki pendawaian elektrik 34 rumah secara percuma

in Edisi Terengganu by


MARANG – Politeknik Kuala Terengganu (PKT) membaik pulih pendawaian elektrik di 34 buah rumah penduduk yang berdaftar dengan e-Kasih secara percuma di Marang.


Pengarahnya, Radiah Che Su berkata, pihaknya menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia memperuntukkan sebanyak RM170,000 agar penduduk terbabit dapat menikmati faedah itu.


Menurutnya, program sukarelawan yang sama juga pernah dilaksanakan di Parlimen Besut dengan melibatkan 100 buah rumah di daerah berkenaan dua tahun lalu.


“Kali ini PKT diberikan tanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja membaiki dan memulihkan pendawaian elektrik secara berfasa di rumah-rumah terpilih di sekitar daerah Marang.


“Ia melibatkan empat Dun iaitu Bukit Payong, Alur Limbat, Rhu Rendang dan Pengkalan Berangan. Fasa pertama bermula Oktober hingga November lalu dan PKT dapat menyiapkan 12 buah rumah.


“Bagi fasa kedua pula, sebanyak 22 buah rumah lagi diperuntukkan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Touch Point Cabinet Away Day, PKT Bersama Parlimen Marang di Kenanga, di sini.


Radiah berkata, fasa kedua bermula sejak Disember tahun lalu dan akan berakhir sepenuhnya Januari ini.


Menurutnya, bagi fasa pertama, kos yang dikeluarkan KPT melibatkan RM60,000 dan fasa kedua pula menelan belanja sebanyak RM110,000.


“Program tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengenal pasti dan membaik pulih kerosakan pendawaian elektrik.


“Melaluinya juga ia dapat memberikan keyakinan serta motivasi kepada pelajar PKT yang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]