Rayu kerajaan sedia perumahan ibu tunggal

in Uncategorized by


PARIT BUNTAR – Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Negeri Perak merayu kerajaan negeri mempertimbangkan pembinaan sebuah kawasan perumahan khas menempatkan golongan ibu tunggal dari negeri ini bagi membela nasib mereka yang kebanyakannya tidak berumah.


Pengerusinya, Wan Safariyah Munsurdin berkata, sehingga kini, majoriti ibu tunggal, sama ada berpisah hidup atau mati, bukan sahaja bergantung hidup dengan pendapatan suami, malah terpaksa menumpang rumah pasangan mereka atau rumah keluarga bagi menjalani kehidupan seharian.


Menurutnya, apabila ibu tunggal tersebut kehilangan atau berpisah dengan suaminya, mereka menghadapi masalah kehilangan tempat bergantung, malah ada sebahagian ibu tunggal yang terpaksa keluar dari rumah suami atau keluarga mentua ditumpangi setelah berpisah hidup atau mati.


“Senario ini menyebabkan ada sebahagian golongan ibu tunggal yang menyara anak ramai, terpaksa menjalani kehidupan serba daif dan susah disebabkan wang pendapatan diperolehi mereka tidak cukup untuk membiayai kos persekolahan harian anak-anak, barangan dapur dan rumah sewa.


“Bagi mereka yang terpaksa menumpang di rumah keluarga sendiri, mungkin ibu tunggal itu mendapat bantuan ahli keluarga lain.


“Namun, bagi mereka yang tiada tempat lain untuk bergantung, pastinya senario ini akan memberi tekanan kepada kehidupan mereka ekoran terpaksa hidup melarat,” katanya kepada media pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan PITKM Parlimen Parit Buntar di sini hari ini.


Majlis dirasmikan Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Abu Bakar Md Ali menyaksikan seramai 280 ibu tunggal di Parlimen Parit Buntar menerima bantuan makanan daripada pihak kerajaan.


Wan Safariyah berkata, pembinaan sebuah perumahan penempatan golongan ibu tunggal dijangka mampu membantu meningkatkan taraf kehidupan lebih 15,000 golongan itu yang dikenal pasti di Perak.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]