Saudara baharu perlu RM100,000 biaya kos rawatan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang mualaf memerlukan bantuan kos rawatan berjumlah RM100,000 selepas terbabit kemalangan di persimpangan bertingkat Lebuhraya Pesisir Pantai (Coastal Highway) berhampiran Horizon Hill, di sini, 18 Disember lalu.


Imran Liu Chee Meng Abdullah, 45, kini koma setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.


Isteri mangsa, Rabi’ahtuladawyah Md Saleh, 41, berkata, ketika kejadian suaminya dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura sebelum dipercayai melanggar timbunan pasir di lebuh raya terbabit.


“Selepas kemalangan, suami  dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan dan pembedahan buang darah beku di bahagian otak kirinya.


“Tempurung kepala suami juga dibuka untuk rawatan yang kini disimpan HSA. Suami saya juga memerlukan pembedahan untuk cantumkan tempurung itu tetapi hanya boleh dilakukan selepas kembali sihat,” katanya.


Rabi’ahtuladawyah berkata, suaminya kini dipindahkan ke Hospital Pakar KPJ Johor sejak 5 Januari.


“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk rawatan dia di sini, walaupun suami mempunyai insurans ia belum memadai kerana kos rawatan dan peralatan yang tinggi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Negeri Islam Johor (Jaij) Alina Wong Abdullah berkata, mangsa akan diberikan bantuan bagi meringankan beban ditanggung keluarga saudara baharu ini.


Untuk rekod, sehingga kini keluarga Imran mengumpul kira-kira RM50,000 untuk kos rawatan berkenaan tetapi masih belum mencukupi untuk tujuan rawatan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]