Tiga helikopter bawa 252 pelajar Orang Asli

in Edisi by


GUA MUSANG – [ VIDEO ] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat 58 penerbangan selama tempoh tiga hari bagi membawa keluar semua pelajar yang terkandas di empat pos pedalaman menggunakan helikopter.


Bukan itu sahaja, malah bagi menyempurnakan operasi terakhir hari ini, pihaknya turut  menambah sebuah lagi helikopter menjadikan 36 penerbangan dalam masa sehari.


Untuk dua hari operasi, JBPM menggunakan helikopter jenis Agusta AW139 dan Agusta 109E untuk membawa keluar pelajar dari Pos Balar, Pos Belatim dan Bihai.


Komander Pasukan Khas Unit Udara JBPM Penguasa Bomba Cik Hamdan Hamzah berkata,  jangkaan awal mendapati 242 pelajar akan keluar bersekolah namun ada pertambahan di saat akhir.


“Untuk hari terakhir, kita membawa keluar pelajar dari Pos Gob dan baki pelajar dari Pos Bihai yang tidak dapat dibawa semalam akibat hujan lebat.


“Alhamdulillah, dengan pertambahan pesawat dan cuaca yang baik, operasi yang bermula pada jam 10 pagi itu berjaya ditamatkan pada jam 3 petang.


“Untuk hari pertama, kita membuat 12 penerbangan, hari kedua, 10 penerbangan dan ketiga 37 penerbangan,” katanya ketika ditemui di Padang Pusat Sivik, di sini.


Tambah Cik Hamdan, selain penerbangan Fly To School, JBPM juga turut membuat penerbangan ‘Medical Evacuation (Medevac) di kawasan pos berkenaan.


Katanya, dalam tempoh operasi berkenaan selama tiga hari, seramai 14 pesakit dari beberapa pos dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang./p>


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]