Nafi cerai isteri kerana lumpuh

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Seorang pemandu lori menafikan dakwaan bekas isterinya bahawa dia menceraikan wanita itu kerana lumpuh separuh badan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya empat tahun lalu.


Ahmad (bukan nama sebenar), 30 an berkata, perpisahan kali kedua berlaku adalah diatas permintaan bekas isterinya itu yang merasakan tiada lagi persefahaman antara mereka.


Dia menambah, dakwaan mengatakan dia meninggalkan bekas isterinya selepas tidak berupaya untuk menjalani kehidupan seharian tidak benar kerana dia merujuk semula dengan bekas isterinya itu selepas wanita terbabit terlantar kerana kemalangan tersebut.


[ARTIKEL BERKAITAN: Ditinggal suami selepas lumpuh separuh badan]


Ahmad berkata, selepas bercerai kali pertama pada Jun 2014, dia merujuk semula dengan bekas isterinya kerana mahu menjaganya berikutan separuh badan wanita itu disahkan lumpuh.


“Dakwaan dia (bekas isteri) berkenaan saya, tidak betul. Malah, tarikh kemalangan pun dia cakap tak betul. Dia kemalangan 30 Ogos 2014 bukannya 30 Ogos 2013. Itu pun dah tak betul. Saya rujuk balik dengan dia pada September 2014, iaitu selepas dia kemalangan.


“Malah dia masuk ke hospital swasta untuk pembedahan tulang belakang pun, guna insurans yang saya buatkan untuk dia (di atas nama dia). Saya yang jaga dia di hospital sehingga saya dinasihatkan berhenti kerja kerana tak boleh bagi komitmen pada kerja. Jadi mengapa dia perlu berbohong mengatakan saya menceraikannya selepas dia lumpuh?” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]