Sarawak peruntuk RM1 bilion untuk projek ‘Grid Air Negeri’

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING – Kerajaan Negeri Sarawak menyediakan peruntukan RM1 bilion khusus bagi membekalkan air yang bersih kepada penduduk pedalaman menerusi pelaksanaan projek Grid Air Negeri.


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai permulaan kerajaan negeri telah melantik pihak konsultan untuk mengkaji kemungkinan penyaluran air dari empangan Batang Ai ke kawasan Tanjung Manis di bawah fasa pertama projek itu.


Katanya projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat kerana membabitkan belanja yang besar, dan beliau menjangka ia akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Zon 4 di Dewan Kompleks Islam, Bangunan Majma Tuanku Abdul Halim Muazam Shah di sini, hari ini.


Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, empat empangan besar yang dimiliki Sarawak, iaitu Batang Ai, Bakun, Murum dan akan datang empangan Baleh, akan digunakan bagi menyalur sumber air bersih kepada penduduk pedalaman mengikut zon.


Katanya, bekalan air dari empangan ini juga akan digunakan bagi membantu sektor pertanian kerana sesetengah kawasan di pedalaman negeri amat bergantung kepada sumber air yang cukup untuk tanaman mereka.


Beliau berkata selepas fasa pertama Grid Air Negeri dilaksanakan, tumpuan pembekalan air yang bersih ke kawasan pedalaman akan beralih ke bahagian utara Sarawak pula.


Zon 4 PBB terdiri daripada enam cabang iaitu Cawangan Sadong Jaya, Simunjan, Gedong, Sebuyau, Lingga dan Beting Daro. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]