Warga emas dipercayai lemas ketika memancing

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – Seorang warga emas yang keluar memancing sendirian di Sungai Parit Lapis Bangas Laut dikhuatiri lemas apabila tidak pulang ke rumahnya, selepas disedari anaknya, semalam.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, warga emas berkenaan Syukri Masran@Maseran, 72, dikatakan keluar memancing pada jam 5.30 petang semalam, bagaimanapun tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya.


Katanya, mangsa yang disedari hilang oleh keluarganya setelah tidak pulang sehingga jam 8 malam dan laporan polis terus dilakukan di Balai Polis Sri Medan, setelah cubaan menghubunginya gagal.


“Anak mangsa mulanya cuba menghubunginya melalui telefon bimbit tetapi tiada jawapan, kemudiannya terus menghubungi penduduk kampung dan balai untuk tujuan menyelamat.


“Pada 8.20 malam, pegawai dan anggota polis dibantu enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng selain penduduk kampung memulakan kerja mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian dengan bantuan dua bot orang kampung dan sebuah bot bomba.


“Pasukan SAR menjumpai sampan yang digunakan oleh mangsa hanyut kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa memancing selain motosikal, telefon bimbit dan rokok di tempat mangsa memancing turut ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan tiada unsur jenayah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.


“Usaha SAR diteruskan pada 7.30 pagi ini dengan kekuatan 30 anggota bomba, enam anggota polis dan 100 penduduk kampung dan setakat ini tiada tanda mangsa dijumpai,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]