Berhimpit di ruang dapur

in Edisi by


PASIR MAS – Biarpun ruangnya sempit, tiada bilik tidur mahu pun ruang tamu, namun itulah tempat berteduh buat seorang ibu tunggal bersama dua anaknya di Kampung Landar, Slow Machang di sini.


Bagaimanapun, Nik Fuziah Nik Mat, 56, tetap bersyukur apabila dia dan anak-anaknya, Mohd Nazmi Nazri, 21, dan Norhazwani, 18, masih mempunyai tempat untuk berteduh dari hujan dan panas walaupun perlu berhimpit di ruang dapur.


“Tempat yang kami berteduh ini kawasan dapur rumah lama ibu bapa saya. Ruang ini boleh guna lagi walaupun strukturnya sudah tak kukuh dan bumbung pula bocor.


“Saya tinggal di sini percuma dan tak perlu menyewa. Saya tinggal di sini selepas kematian suami (Nazri Yasin) pada 2014 lalu akibat jangkitan kuman,” katanya.


Menurutnya, sebelum ini, dia sekeluarga tinggal di rumah sewa, namun berpindah selepas tidak mampu membayar sewa bulanan sebanyak RM80.


Katanya, semasa Allahyarham suaminya masih hidup dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan, mereka masih mampu untuk menyewa rumah berkenaan.


Nik Fuziah berkata, ketika ini dia bergantung sepenuhnya kepada pendapatan sebagai tukang masak di sebuah pusat tahfiz.


“Saya dapat upah RM25 sehari. Cukuplah untuk perbelanjaan dapur serta anak-anak saja.


“Lagipun, anak sulung saya masih belajar di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Puchong, Selangor. Anak bongsu pula sedang tunggu keputusan SPM,” katanya.


Nik Fuziah berkata, selain bumbung rumah bocor, dia dan keluarga berdepan masalah banjir kilat.


Katanya, hujan lebat lebih dua jam menyebabkan kawasan rumah mereka akan dimasuki air.


“Jadi saya dan anak-anak terpaksa menumpang di rumah ibu kerana hanya itulah pilihan yang ada.


“Kami tak boleh tumpang lama di rumah ibu kerana rumah PPRT itu juga didiami kakak serta anaknya,” katanya.

Nik Fuziah menunjukkan rumahnya yang didiami bersama dua anaknya.


Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan dari Yayasan Amal Datuk Zul Wisma.


Dalam kunjungan itu, Pengerusi Yayasan berkenaan, Datuk Dr Zulkepli Mohamed turut menyampaikan sumbangan zakat dan sekampit beras untuk kegunaan keluarga berkenaan.


Sementara itu, Zulkepli berkata, beliau berharap sumbangan yang dihulurkan itu mampu membantu meringankan beban keluarga ibu tunggal berkenaan.


“Kami terpanggil untuk membantu keluarga ini sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kesempitan hidup yang dialami oleh mereka,” katanya.


Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam Malaysia (03-027-02- 063401-8) atas nama Nik Fuziah


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]