‘Dia tak balik solat Maghrib’

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Sebelum keluar memancing suami banyak bercakap dan bertanya… selalunya dia tidak begitu, cuma akan bercakap bila perlu saja,” kata Arbakyah Jelani, 68.


Arbakyah merupakan isteri kepada warga emas, Syukri Masran@Maseran, 72, yang ditemui lemas petang semalam selepas memancing di Sungai Parit Lapis Bangas Laut, Sri Medan, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.


Ujar Arbakyah, sudah menjadi kebiasaan suaminya memancing di sungai berkenaan dan hampir setiap petang akan ke lokasi itu, namun akan pulang ke rumah jam 6.30 petang untuk bersiap ke surau bagi menunaikan solat Maghrib.


Katanya, berbeza dengan kelmarin suaminya tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan, membuatkannya tertunggu-tunggu sehingga jam 8 malam namun kelibatnya tetap tiada.


“Makcik dah bimbang dengan situasi ni. Makcik minta anak cari di sungai tempat dia selalu pergi tapi tak menemuinya. Yang ada hanya kotak rokok, pancing yang masih ada umpan dan motosikalnya.

Noraini ketika menenangkan Arbakyah.


“Paling makcik risau dia tak makan ubat darah tinggi dan selalu kejang otot. Tapi makcik tetap berdoa agar dia ditemui selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.


[ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas dipercayai lemas ketika memancing]


Rakan mangsa, Abdul Rasid Bakri, 58, berkata, dia mengesyaki rakannya itu telah terjatuh dan dibawa arus sungai deras, selain berkemungkinan hilang kawalan ketika mahu mengambil botnya.


Menurutnya, rakannya memang pandai berenang dan memang setiap petang dia memancing, di mana lokasi itu sememangnya menjadi tumpuan penduduk untuk memancing kerana banyak ikan.


“Saya dapat panggilan dari rakan sekampung bagi tahu Wak Syukri hilang di sungai. Sejak malam tadi penduduk mencarinya termasuk cari di sekitar tebing sungai,” katanya.


Panggilan telefon tidak dijawab


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, Syukri dikatakan keluar memancing pada jam 5.30 petang kelmarin, bagaimanapun tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya.


Katanya, mangsa disedari hilang oleh keluarganya setelah tidak pulang ke rumah  sehingga jam 8 malam dan laporan polis terus dilakukan di Balai Polis Sri Medan, setelah cubaan menghubunginya gagal.


“Anak mangsa mulanya cuba menghubunginya melalui telefon bimbit dan ia berdering tetapi tiada jawapan. Kemudian anaknya terus menghubungi penduduk kampung dan balai polis untuk tujuan menyelamat.


“Pada jam 8.20 malam, pegawai dan anggota polis dibantu enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng selain penduduk kampung, memulakan kerja mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian dengan bantuan dua bot orang kampung dan sebuah bot bomba.


“Pasukan SAR menjumpai sampan digunakan mangsa hanyut kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa memancing.Selain itu turut ditemui motosikal, telefon bimbit dan rokok di tempat mangsa memancing. Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan tiada unsur jenayah,” katanya.


“Usaha SAR diteruskan pada 7.30 pagi semalam dengan kekuatan 30 anggota bomba, enam anggota polis dan 100 penduduk kampung,” katanya.


Mayat mangsa dijumpai pada jam 3.15 petang dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sibat, Kampung Parit Bangas, selepas proses bedah siasat dilakukan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).


Dalam pada itu hadir sama ke lokasi kejadian ialah Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Wakil Rasmi Adun Sri Medan, Majid Safie mewakilkan Datuk Zulkurnain Kamisan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]