‘Saya lebih suka lihat dari sudut positif’

in Nasional by


SHAH ALAM – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyatakan beliau lebih suka melihat dari sudut positif berbanding menjadi hakim bagi setiap tingkah laku seseorang itu.


Katanya, pertemuan antara beliau dengan pelakon, Iqram Dinzly Ahad lalu bertujuan untuk mendengar luahan dan berbincang dalam bentuk santai serta harmoni.


“Selepas kami (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan) kemukakan surat terbuka kepada dia sekitar Disember lalu, saya dapat bertemu dengan Iqram untuk mendengar luahan dan berbincang dalam bentuk santai dan Harmoni.


“Ia bukan satu natijah akhir tapi lebih kepada pengenalan untuk mengetahui keadaannya. Kalau saya melihat seseorang itu, saya akan melihat dari sudut positif yang ada dalam dirinya dan saya akan melihat bagaimana kesamaan yang ada serta apa kelemahan yang boleh kita betulkan secara bersama,” katanya ketika sesi Live FB bersama Sinar Harian, hari ini.


Pada pertemuan tersebut, Zulkifli  menghadiahkan dua ekor arnab kepada Iqram pada sesi hati ke hati antara pelakon berkenaan dengan agamawan tersebut.


[ARTIKEL BERKAITAN: Iqram Dinzly tak gila: Johan As’ari]


Beliau turut menghadiahkan beberapa buku tulisannya kepada Iqram dan pelakon Johan As’ari yang turut hadir pada pertemuan berkenaan.


Mengulas lanjut, Zulkifli pendekatan utama beliau lebih menjurus kepada usaha berdakwah, mengislahkan dan tidak berminat untuk menghukum.


“Saya begitu optimis ada hikmah lebih besar dan dalam ruang lingkup Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyelesaikan masalah agar tidak ada dinding antara kita dengan masyarakat,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]