Lapan negara bebas senarai hitam EU

in Global by


BRUSSELS – BELGIUM. Kesatuan Eropah (EU) menarik balik lapan negara termasuk Panama, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan daripada senarai hitam 17 negara tempat perlindungan cukai antarabangsa, tujuh hari selepas senarai itu disusun.


Menteri Kewangan EU dalam satu kenyataan berkata, lapan negara berkenaan telah menunjukkan komitmen pada tahap politik yang tinggi untuk menangani kebimbangan EU bahawa ia tidak bekerjasama dengan penipu cukai.


“Antara negara lain terlibat adalah Barbados, Grenada, Macao, Mongolia dan Tunisia. Kesemua lapan negara kini akan dimasukkan ke dalam senarai kelabu, bidang kuasa yang akan membawa mereka ke dalam piawaian EU,” menurut EU.


Sementara itu, Pesuruhjaya Ekonomi EU, Pierre Moscovici menggesa negara anggota mengambil kira komitmen yang telah dibuat negara dalam senarai kelabu bagi membolehkan pengawasan awam terhadap proses pembaharuan mereka.


“Harus ada kawalan demokratik terhadap komitmen tersebut. Kita mesti menentang penipu cukai,” katanya.


Menteri Kewangan turut bersetuju dan menggesa EU mengenakan sekatan ke atas negara yang disenarai hitam.


Senarai hitam tersebut disusun bulan lalu di tengah-tengah usaha EU untuk menggandakan pencegahan cukai. – dpa


Source: SH Global

[featured-video-plus]