Anggota penguatkuasa diingatkan tidak emosional

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) diingatkan agar tidak emosional serta menjaga tingkah laku ketika berhadapan orang awam yang cuba mencabar kesabaran hingga boleh tercetus pertikaman lidah dan sebarang kekecohan.


Perkara itu disuarakan Yang Dipertua (YDP), Datuk Mohamad Yasid Bidin ketika mengadakan pertemuan dengan lima anggota Penguatkuasa Bahagian Letak Kereta, Jabatan Kewangan di pejabatnya, petang ini.


Pertemuan itu diadakan susulan video lima petugas berkenaan bertikam lidah dengan seorang lelaki tular di media sosial, semalam.


Pengarah Komunikasi Korporat, Norfiza Mahfiz yang turut hadir pada pertemuan itu berkata, YDP sememangnya amat memahami tugas sebagai penguatkuasa yang dianggap bukan senang kerana terpaksa berhadapan dengan orang awam yang mempunyai pelbagai karenah.


“Sememangnya penguatkuasa mestilah terdiri daripada orang yang tegas dan berdisplin.


“Mereka dinasihatkan agar tidak sesekali menggunakan bahasa kasar dan emotional ketika menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.


Menurutnya, sebagai penjawat awam, penguatkuasa sepatutnya menjalankan tugas dengan lebih profesional.


“Itu bukan bermaksud orang ramai boleh memaki hamun dan tidak menghormati kerja petugas majlis.


“Tindakan penguatkuasa tersebut juga adalah di bawah kelakuan mereka sendiri dan YDP telah menegur dan memberi amaran supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas selepas ini,” katanya.


Pada masa sama, beliau berkata,


perkara itu dianggap selesai apabila lelaki yang bertikam lidah dengan lima petugas tersebut sudah tampil di MPK bagi membuat permohonan maaf.


“Beliau mengakui ketelanjurannya memaki hamun petugas berkenaan.


“Bahkan dia juga sudah sedar dan mengakui kesilapannya yang jelas melanggar peraturan majlis,” katanya.


Dalam pada itu, Norfiza turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan yang ditetapkan MPK dengan meletak kenderaan di tempat yang dibenarkan serta tidak menghalang lalu lintas.


“Kita juga tidak teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan mengikut peraturan yang sudah ditetapkan kepada mana-mana pihak yang ingkar dengan undang-undang,” katanya.


Terdahulu, rakaman kejadian pada 13 Disember lalu di Jalan Sentosa 33, menjadi tular di media sosial semalam selepas seorang lelaki berusia lingkungan 50 an bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada sekumpulan anggota penguatkuasa MPK.


Rakaman video berdurasi 2 minit 40 saat itu memaparkan lelaki berkenaan bengang apabila kenderaannya disaman salah seorang anggota tersebut.


Pada masa sama, salah seorang anggota lain cuba menjelaskan kesalahan lelaki itu yang meletakkan kenderaan di tempat yang salah, namun lelaki itu dilihat memberikan alasan sehingga menimbulkan situasi tegang dan pertikaman lidah antara keduanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]