CRCC bukan satu-satunya konsultan terowong dasar laut

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan bahawa kontraktor utama projek itu, China Railway Construction Corporation Limited (CRCC) bukan satu-satunya syarikat konsultan terlibat dalam Kajian Kebolehlaksanaan dan Rekabentuk Terperinci projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya.


Sehubungan itu, jumlah pembayaran yang dimuatnaik dalam laman webnya itu hanya untuk pembayaran yang diterimanya iaitu RM69.3 juta daripada jumlah keseluruhan kajian tersebut, iaitu RM305 juta.


Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata, BN Pulau Pinang sepatutnya merujuk kepada dua sumber sah berhubung perkara itu sebelum membuat tuduhan ke atas kerajaan negeri.


“BN sepatutnya lebih mempercayai maklumat dalam Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) berikutan wakil Umno turut berada dalam jawatankuasa itu berbanding maklumat yang diperolehi dari laman web CRCC.


“Teng Chang Yeow (Pengerusi BN Pulau Pinang) sepatutnya faham apabila jumlah pembayaran yang terkandung dalam PAC dan jawapan Hock Seng (dalam sidang Dun), sama iaitu RM305 juta.


“PAC dan jawapan Hock Seng ini lah sumber sah. Tetapi malangnya, dia (Chang Yeow) lebih mempercayai laman web CRCC. Dia sepatutnya mempercayai maklumat dari sumber sah,” katanya kepada media tadi.


Kon Yeow menambah, selain CRCC, terdapat 33 syarikat konsultan lain yang terlibat dalam Kajian Kebolehlaksanaan dan Rekabentuk Terperinci bagi kedua-dua projek tersebut.


“19 syarikat konsultan terlibat dengan kajian ke atas tiga buah lebuhraya dan 15 syarikat lagi untuk projek terowong dasar laut.


“Chang Yeow mengandaikan hanya CRCC sahaja syarikat yang terlibat dalam projek ini. Tambahan pula, dia sengaja menggembar gemburkan isu ini untuk mengelirukan rakyat,” katanya.


Terdahulu, Chang Yeow turut mempertikaikan perbezaan jumlah bayaran untuk kajian tersebut yang dinyatakan di antara kerajaan negeri dengan maklumat dalam laman web CRCC iaitu USD22 juta (RM69.3 juta) berbanding RM305 juta.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]