F&N labur RM25 juta

in Bisnes by


FRASER & Neave Holdings Berhad (F&N) memperuntukkan perbelanjaan modal RM25 juta bagi meningkatkan kapasiti tahunan F&N Dairies Malaysia, yang terletak di Pulau Indah, Selangor, bagi memenuhi pasaran tempatan dan eksport.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, pelaburan itu dijangka  menambah kapasiti tahunan kilang tenusunya sebanyak lima juta kotak.


“Pada masa ini, kilang ini menghasilkan kapasiti 16 juta hingga 20 juta unit setahun.


“Langkah ini dijangka  mempergiat perniagaan eksport F&N dalam usaha mencapai sasaran jualan eksport RM500 juta dari Malaysia, lebih awal daripada 2020 yang ditetapkan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) F&N di Kuala Lumpur, semalam.


Selain itu, katanya, F&N  bercadang mempertingkatkan kapasiti di dua buah kilang tenusunya yang terletak di Thailand, masing-masing di Rojana dan Pakchong.


“Apabila digabungkan operasi di Thailand dan Malaysia, F&N menetapkan sasaran eksport RM800 juta menjelang 2020, di samping sumbangan daripada operasi perniagaan Malaysia dan Thailand,” katanya.


Ketika ini, F&N mempunyai lapan kilang melibatkan enam di negara ini dan dua lagi di Thailand.


Pada tahun ini, Yew Hoe berkata, F&N bakal memperkenalkan rangkaian produk minuman baharu kurang gula dan lebih sihat dalam memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.


“Kami juga akan menumpukan kepada inovasi produk dan pembungkusan yang memfokuskan kepada agenda kesihatan pengguna dan permintaan produk mampu milik dalam suasana ekonomi lemah yang berlarutan,” katanya.


Dalam AGM itu, F&N melantik tiga pengarah baharu iaitu Datuk Mohd Anwar Yahya dan Faridah Abdul Kadir sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, manakala seorang lagi, Aida Md Daud sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, selaku pengarah nomini Permodalan Nasional Berhad.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]