Gunakan peralatan permainan dengan berhemah

in Edisi Utara by


PENDANG – Orang ramai disarankan agar menggunakan peralatan permainan yang terdapat di Taman Rekreasi Pendang dengan berhemah bagi memastikan peralatan berkenaan sentiasa berkeadaan baik.


Pegawai Daerah Pendang, Zaid Ahmad berkata, pihaknya sedia maklum akan kemalangan menimpa seorang kanak-kanak yang ditularkan didalam laman sosial ‘Facebook’ sejak beberapa hari lalu.


“Aduan kerosakan peralatan permainan di taman rekreasi awam Pendang telah diterima melalui laman ‘facebook’ rasmi MDP (Majlis Daerah Pendang)  pada 3 Januari lalu,” katanya.


Melalui siasatan awal yang dijalankan pada tarikh yang sama, kekerapan penggunaan selain unsur vandalisma disyaki menjadi punca berlakunya kerosakan ke atas peralatan permainan tersebut.


“Bagi mengelakkan kecederaan kepada orang awam, pihak MDP juga telah meletakkan tali keselamatan di sekitar kawasan peralatan permainan yang rosak bagi menghalang orang awam mendekati kawasan tersebut.


“Malangnya tali keselamatan tersebut telah dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan kecederaan kepada org awam yang tidak menyedari kerosakan berkenaan,” katanya.


Menurut Zaid, pembaikan peralatan permainan tersebut telah selesai dijalankan sepenuhnya pada 24 Januari lalu.


“MDP sangat berharap agar selepas ini semua pengguna taman rekreasi awam berkenaan dapat menggunakan kemudahan yang disediakan oleh MDP dengan lebih berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.


Zaid turut meminta kerjasama daripada pengunjung untuk memaklumkan segera kepada MDP sekiranya berlaku kerosakan lain bagi memastikan mereka boleh bertindak.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]