Helah seleweng 3,485 minyak masak subsidi terbongkar

in Uncategorized by


PARIT BUNTAR – Helah sebuah lori sebuah syarikat pemborong minyak masak cuba menyeleweng 3,485 peket minyak masak subsidi kepada sebuah premis berjaya dibongkar anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Parit Buntar, semalam.


Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, pada jam 9.30 pagi, hasil maklumat risikan membolehkan pihaknya segera menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis pemborong barang kawalan gula,minyak dan tepung (GMT) di Bagan Serai.


Menurutnya, maklumat diperolehi pihaknya mendapati sebuah lori membawa minyak masak dari sebuah syarikat pembungkus dari Selangor yang dijadualkan dalam perjalanan ke Perlis, dikatakan keluar melalui susur keluar Alor Pongsu, Bagan Serai dan menghala ke lokasi kejadian untuk tujuan yang tidak pasti.


“Berdasarkan maklumat diterima, lori berkenaan sepatutnya menghantar minyak tersebut kepada pemborong di Perlis namun menyusur keluar melalui susur keluar Tol Alor Pongsu dan terus menuju ke sebuah premis di Bagan Serai.


“Curiga tindakan pemandu lori itu, kami segera ke premis terbabit dan membuat pemeriksaan menyeluruh.


“Pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak membuat sebarang pesanan mengikut syarat ditetapkan dan sejumlah 205 kotak mengandungi 17 bungkus minyak masak subsidi seberat 3,485 kg dirampas,” katanya dalam satu sidang media di pejabat KPDNKK Parit Buntar, hari ini.


Shamsul Nizam berkata, jumlah nilai barangan rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,364.


Menurutnya, pemeriksaan terhadap invois mendapati premis terbabit ada menerima bekalan minyak masak sejumlah 8,500 kilogram dari syarikat pembekal barang kawalan beralamat di Kamunting Taiping, namun premis terbabit tidak wujud.


“Hasil pemeriksaan ke atas invois mendapati premis terbabit tidak wujud di Kamunting Taiping, sebaliknya beroperasi di Bagan Serai dan menjalankan perniagaan runcit dan bukannya membekalkan barangan kawalan.


“Kami masih lagi menjalankan siasatan menyeluruh termasuk merakamkan percakapan pemilik premis berusia 40an serta seorang pekerja berusia 50an.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 8(4) (B) Akta Kawalab Bekalan 1961,” katanya.


Shamsul Nizam berkata, KPDNKK akan terus mempertingkatkan usaha bagi memastikan tiada penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]