Kedudukan kerusi masih boleh runding

in Uncategorized by


AYER TAWAR – Harapan Perak boleh melakukan pertukaran kerusi antara parti mereka jika merasakan calon parti yang diletakkan tidak mampu menarik sokongan rakyat.


Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, secara prinsip, semua kerusi di Perak telah ditetapkan mengikut parti masing-masing.


Bagaimanapun menurutnya, rundingan masih boleh dilakukan antara parti untuk membuat pertukaran dengan mengambil kira beberapa faktor.


“Antara kerusi juga boleh tukar suka sama suka jika ada parti yang merasakan kawasan itu adalah kubu kuat mereka. Sebagai contoh, Parlimen Lumut sudah diberikan kepada Amanah namun jika PKR merasakan kerusi itu boleh dimenangi oleh mereka, PKR boleh terus berada di situ,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata, dalam penentuan calon, setiap parti pastinya menganalisis calon mereka bagi memastikan kemenangan Harapan Perak.


Katanya, bagi DAP sendiri, calon yang ditentukan pastilah mereka yang memegang jawatan tinggi atau mempunyai pengaruh kuat bagi memastikan kemenangan di sesuatu kawasan.


“Pemilihan calon juga harus ada strategi tertentu. Kita akan analisis dulu calon sama ada dia mampu meraih sokongan rakyat atau tidak kerana prinsip kita adalah untuk menang,” katanya.


Ketika ditanya kedudukan kerusi Parlimen Beruas dan Dun Sitiawan, Koo Ham menyatakan ia masih lagi milik DAP pada PRU14 ini, namunĀ  calonnya belum ditentukan lagi.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]