PIBG, guru, pengusaha kantin perlu kerjasama

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa mempunyai pilihan untuk mengambil pakej bawah Program Hidangan Makanan Sihat di Sekolah (Hits).


Program masuk tahun keempat ini menawarkan penyediaan makanan setiap hari kepada pelajar berlandaskan pematuhan kualiti makanan yang sepatutnya, tanpa sebarang urusan jual beli.


Ibu bapa hanya perlu bayar sejumlah wang untuk pakej makanan berkenaan dan memperbaharui penyertaan setiap tiga bulan.


Yang Dipertua PIBG SK Setiawangsa, Shahpandi Abdul Manan, berkata, program itu adalah usaha sama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan di mana penyediaan makanan di bawah pemantauan pegawai kesihatan sendiri.


Pengendali kantin akan menyediakan hidangan makanan berkhasiat termasuk minuman dalam bekas makanan yang selamat.


“Program ini adalah pilihan dan tidak diwajibkan. Tapi ramai ibu bapa terutamanya murid Tahun 1 dan 2 mengambil pakej ini bagi memudahkan urusan waktu rehat anak-anak.


“Bagi murid Tahun 1 dan 2, makanan akan siap diletakkan di atas meja dan mempunyai nama murid. Jadi mereka tidak perlu beratur dan sebagainya,” katanya.

Penyediaan makanan bawah Hits yang dibuat pengendali kantin.


Tambahnya, untuk dua tahun pertama perlaksanaan, pegawai kesihatan khusus bahagian makanan telah ditempatkan di sekolah bagi memantau penyediaan dibuat.


“Setelah tempoh itu, pihak kementerian berpuas hati dengan operasi penyediaan makanan di kantin sekolah dan program berjalan sehingga hari ini,” katanya.


Mengulas lanjut katanya, jumlah murid seramai 2,100 bagi dua sesi persekolahan menyebabkan waktu rehat murid dibahagikan kepada tiga bagi mengelakkan kesesakan di kantin.


“Secara tidak langsung ia dapat mengawal kualiti makanan disediakan secara berperingkat. Konsep gerai-gerai kecil untuk air, dan buah-buahan membuatkan operasi kantin lebih teratur. Ada juga makanan yang telah siap diletakkan dalam bekas bertutup. Pihak kantin juga menitikberatkan kualiti dan khasiat makanan dijual.


“Malah untuk menggalakkan pemakanan berkhasiat, pengendali kantin juga mengambil inisiatif menyediakan program sayur percuma,” katanya.


Katanya, kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG dan pengusaha kantin juga menjadikan operasi dan suasana kantin SK Setiawangsa di tahap yang membanggakan.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]